SHAH ALAM – Pemergian seorang remaja lelaki, Faris Zhafri Mohd Zailan, 18, yang menghidap kanser darah tahap empat mengundang sebak ramai apabila dikhabarkan meninggal dunia selepas rebah ketika menunaikan solat.
Meskipun sudah lima hari berlaku, kisah menyentuh hati itu tular selepas dikongsikan rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama menjalani rawatan penyakit berkenaan.
Menurut rakannya, Mohd Azuan Asmuni, Allahyarham rebah ketika sedang bersujud sebelum dikejarkan ke zon merah hospital.
"Arwah rebah ketika solat, ketika bersujud untuk bertemu Sang Pencipta. Arwah dikejarkan ke zon merah, namun rezekinya di dunia sudah berakhir.
"Betapa mulianya kamu di sisi ALLAH," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi warga maya yang menzahirkan rasa sedih selain mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Seorang lagi rakan Allahyarham, Muhammad Syafiq Azman berkata, walaupun mereka hanya berkenalan dalam tempoh singkat, hubungan yang terjalin sepanjang menjalani rawatan cukup bermakna.
Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang yang baik hati dan pernah membantunya mencukur rambut ketika rambutnya mula gugur akibat rawatan kimoterapi.
"Walaupun kami kenal cuma sekejap, kami aktif berhubung dan bertanya khabar. Kami pernah berjanji untuk berkumpul selepas semua sembuh.
"Daripada kumpulan kecil kami yang digelar '5 Fighters', kini hanya tinggal dua orang yang masih meneruskan perjuangan," katanya.
Difahamkan, Allahyarham mengidap penyakit itu sejak beberapa tahun lalu dan sedang menunggu prosedur transplant sebelum keadaan kesihatannya kembali merosot.
