Farlim Group lancar projek komersial RM160 juta berkonsep transit di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
3 Dec 2025 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Farlim Group lancar projek komersial RM160 juta berkonsep transit di Pulau Pinang
image is not available
haziq03/12/2025 - 10:25 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 DisFarlim Group (Malaysia) Bhd mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pembangunan bandar di Pulau Pinang dengan melancarkan projek komersial baharu bernilai RM160 juta di Daerah Timur Laut. Projek ini selaras dengan permintaan semakin tinggi terhadap pembangunan berkonsepkan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Fortune Lander (M) Sdn Bhd bagi membangunkan tanah pegangan bebas yang kini masih kosong di Mukim 13, Daerah Timur Laut.

 

Projek berkenaan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM160 juta, dengan kos pembangunan kasar sebanyak RM131.1 juta. 

 

Ia merangkumi pembangunan unit komersial, kedai separa berkembar dan unit kedai berkonsep banglo, termasuk sebuah lot bersebelahan.

 

Menurut Farlim, hasil kajian kebolehlaksanaan dalaman mendapati tapak berkenaan terletak secara strategik dalam kawasan komersial matang dengan infrastruktur dan rangkaian perhubungan yang baik, sekali gus sesuai untuk pembangunan berkonsep TOD.

 

Di bawah terma perjanjian, Fortune Lander sebagai pemilik tanah berdaftar akan menerima pulangan terjamin tetap sebanyak RM15.94 juta atau 10% daripada nilai kawasan boleh jual, yang mana lebih tinggi. 

 

Penyelesaian akan dibuat melalui gabungan tunai dan unit hartanah, manakala Farlim akan membiayai sepenuhnya kos pembangunan menggunakan sumber dalaman.

 

Farlim berkata projek tersebut tertakluk kepada kelulusan kawal selia termasuk proses penukaran syarat tanah serta kelulusan pelan bangunan daripada pihak berkuasa tempatan, selain kelulusan pembiayaan.

 

Pembinaan dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan selepas pelan bangunan diluluskan, dengan sasaran siap dalam tempoh 42 bulan dari tarikh permulaan, tertakluk kepada lanjutan maksimum tiga bulan.

 

Dari sudut kewangan, Farlim menegaskan projek ini tidak akan menjejaskan modal saham, gearing atau pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2025, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan apabila projek mula menunjukkan momentum jualan.

 

Tiada kelulusan pemegang saham diperlukan bagi urus niaga ini dan lembaga pengarah mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan dalam perjanjian berkenaan.

 

Walaupun mengakui wujud risiko pelaksanaan dan pembangunan usaha sama, lembaga Farlim berkata pihaknya akan mengambil langkah munasabah bagi menguruskannya, selain yakin projek itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dalam usaha memperluaskan peggangan tanah strategik di Pulau Pinang. - DagangNews.com

Terkini standard