Farm Fresh selesai ambil alih 65% kepentingan Inside Scoop, TA Securities naikkan unjuran pendapatan FY24-26
diyana
06/06/2023 - 16:54
KUALA LUMPUR 6 Jun - Farm Fresh Bhd telah memuktamadkan pengambilalihan 65% kepentingan dalam vendor The Inside Scoop Sdn Bhd (TISSB) yang bernilai RM84 juta pada 31 Mei 2023.
Oleh itu, TA Securities telah menaikkan unjuran pendapatan bagi FY24, FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 6.1%, 5.5% dan 6.7% untuk mengambil kira kesan pengambilalihan terhadap pendapatan kumpulan.
Bagaimanapun, unjuran tersebut tidak mengambil kira potensi sumbangan daripada aiskrim berbungkus yang dijadualkan untuk dilancarkan pada Januari 2024.
“Memandangkan potensi peningkatan yang lebih besar berikutan kelemahan harga sahamnya baru-baru ini, kami menaik taraf saranan kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) disemak semula pada RM1.74 sesaham daripada RM1.66 sebelum ini berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) 34 kali bagi 2024,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu berpendapat bahawa prestasi keputusan mengecewakan dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) baru-baru ini disebabkan oleh pengurangan margin yang dijangka berkurang pada 2QFY24 dengan kenaikan harga sebanyak 5% pada Julai 2023 untuk produk sejuk dan jangkaan penurunan harga Farmgate.
Firma penyelidikan itu optimis terhadap penyepaduan menegak kumpulan itu ke dalam rangkaian peruncitan aiskrim disebabkan sifat pertambahan pendapatan daripada pengambilalihan tersebut dan kesan penjimatan kos sinergistik.
Menurut firma itu, penyepaduan tersebut juga akan membolehkan Farm Fresh menjadi lebih fleksibel dalam mengoptimumkan keuntungannya di sepanjang rantaian nilai dan sumbangan positif sepatutnya lebih jelas dalam 2QFY24 memandangkan pendapatan disatukan sepenuhnya sepanjang suku ini.
Selepas pengambilalihan, kumpulan itu merancang untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman Pengasas Bersama The Inside Scoop, Edmund Tan untuk melancarkan aiskrim berbungkus menjelang Januari 2024.
“Rancangannya adalah untuk memperkenalkan aiskrim berbungkus versi premium di bawah jenama The Inside Scoop dan versi pada harga berpatutan di bawah jenama Farm Fresh.
“Berdasarkan semakan kami, pasaran aiskrim berbungkus di Malaysia pada masa ini didominasi oleh Unilever dan Nestlé,” tambahnya.
Semenjak keputusan 4QFY23 pada 30 Mei, saham Farm Fresh telah jatuh 21 sen atau 13.5% kepada RM1.34 pada penutupan dagangan pada 2 Jun.
Setakat pukul 4:52 petang hari ini, saham tersebut telah susut 3 sen atau 2.2% kepada RM1.31 dengan modal pasaran berjumlah RM2.45 bilion. -DagangNews.com

