Fasa awal pembinaan klinik Sungai Tamang mula tahun depan: Menteri

LocalHealth & Fitness
24 Oct 2025 • 4:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Fasa awal pembinaan Klinik Kesihatan Sungai Tamang (KKST) di Pulau Sebatik dijangka akan dimulakan pada pertengahan 2026 menggunakan peruntukan klinik daif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM1.5 juta.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerja-kerja pembinaan fasiliti itu tidak boleh ditangguh lagi mengambil-kira faktor jarak dan jumlah besar penduduk yang memerlukan perkhidmatan kesihatan di pulau itu yang melibatkan kira-kira 25,000 orang.

“Saya tidak mahu berjanji tetapi kalau boleh projek ini boleh bermula pada pertengahan tahun hadapan, tetapi jika lebih awal lebih baik,” katanya mengenai KKST yang kini turut beroperasi sementara dengan menumpang di sebuah bangunan uzur di Kampung Sungai Tongkang, Sebatik.

Tambahnya, peruntukan KKST Jenis Enam itu mulanya diluluskan pada 2019 dengan dana berjumlah RM20 juta namun meningkat kepada RM49 juta selepas Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kesihatan merancang semula pembangunannya kepada dua fasa.

Menurutnya penyegeraan pembinaan KKST amat penting selepas tertangguh bertahun-tahun menggunakan dana Kerajaan Madani di lokasi tapak yang sudah dikenalpasti di Kampung Sungai Tamang Sebatik.

“Usaha ini adalah komitmen kita untuk terus meningkatkan fasiliti klinik daif khususnya di luar bandar yang perlu diberikan tumpuan kerana liputan kesihatan sejagat tidak boleh meninggalkan sesiapapun di belakang.

“Hal-ehwal berkaitan prasarana juga berada dalam perhatian kita khususnya terhadap keperluan penyediaan bot untuk kegunaan kakitangan KKM yang berulang-alik dari Bandar Tawau dan Sebatik agar dapat disediakan dalam waktu terdekat,” katanya.

Dr Dzulkefly ditemui pemberita selepas merasmikan Klinik Desa Sungai Imam (KDSI) dengan peruntukan sebanyak RM600, 222 yang sudah beroperasi sejak November tahun lepas untuk kegunaan dan manfaat kira-kira 16,200 penduduk di sini pada petang Rabu.

Dalam siri lawatan itu, Dr Dzulkefly melawat beberapa klinik bagi meneliti sendiri keadaan semasa krisis kesihatan di Pantai Timur Sabah terutama berkaitan fasiliti daif yang memerlukan perhatian secara langsung.

Selain KKST dan KDSI, menteri terbabit dijadual akan turut melawat Klinik Desa Bukit Quoin Tawau, Klinik Desa Bait di Pulau Bait Semporna, Klinik Bergerak Bot Komuniti di Pulau Larapan Semporna, dan Klinik Apas Balung di Tawau.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Sabah Dr William Gotulis dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah.