Fasa terakhir Tropicana Cenang capai 20 peratus pengambilan

Business & Finance
5 Aug 2026 • 4:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fasa terakhir Tropicana Cenang capai 20 peratus pengambilan

LANGKAWI: Projek Clarissa Serviced Suites milik Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) yang merupakan fasa ketiga dan terakhir pembangunan Tropicana Cenang di Pantai Cenang, Langkawi merekodkan kadar pengambilan sebanyak 20 peratus sejak dilancarkan pada April tahun lalu.

Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, sambutan pasaran yang menggalakkan mendorong syarikat melancarkan fasa ketiga itu bersama unit pameran baharu Clarissa Serviced Suites.

Ujarnya, pembangunan berkenaan turut mengekalkan komitmen Tropicana terhadap aspek kualiti dan kemampanan.

“Ia menerusi pematuhan piawaian pensijilan bangunan hijau Green Real Estate (GreenRE), manakala kualiti pembinaannya akan dinilai secara bebas menerusi Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (QLASSIC).

“Selain itu, pembeli Clarissa Serviced Suites kebanyakannya terdiri daripada warga asing, berbeza dengan Assana Serviced Suites yang majoriti pembelinya adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi aplikasi hospitaliti T Journey di Assana Serviced Suites, Tropicana Cenang, di sini.

Menurutnya, Clarissa Serviced Suites mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM922.6 juta dan merupakan pembangunan pegangan bebas setinggi 40 tingkat yang menawarkan 806 unit suite servis berperabot lengkap.

“Unit berkenaan mempunyai keluasan binaan antara 536 hingga 1,356 kaki persegi dengan harga bermula RM668,800,” katanya.

Tropicana Cenang sebelum ini dimulakan menerusi fasa pertama, Assana Serviced Suites yang dilancarkan pada September 2021 dengan menawarkan 831 unit dalam sebuah blok setinggi 39 tingkat.

Unit berkenaan mempunyai keluasan binaan bermula 380 kaki persegi dengan harga permulaan RM500,000 dan kini telah habis dijual dengan 85 peratus pembelinya terdiri daripada rakyat Malaysia.

Susulan kejayaan fasa pertama, Tropicana melancarkan Merissa Serviced Suites sebagai fasa kedua pada Jun 2023.

Merissa yang mempunyai GDV sebanyak RM115 juta menawarkan 60 unit menghadap pantai dalam bangunan bertingkat rendah, dengan harga bermula RM1.71 juta.

Kedua-dua projek Assana Serviced Suites dan Merissa Serviced Suites telah siap dibangunkan pada April tahun ini, melengkapkan pembangunan Tropicana Cenang sebelum pengoperasian penuh ekosistem hospitaliti menerusi T Journey.

Melangkah ke hadapan, Tropicana kini sedang membangunkan dua projek strategik di Langkawi, iaitu pembangunan bercampur di Pantai Kok dan Tropicana Lagoon di Tanjung Rhu.

Pembangunan di Pantai Kok melibatkan kawasan seluas 44.61 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.02 bilion yang akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh 15 tahun, merangkumi komponen kediaman, komersial dan pelancongan.

Sementara itu, Tropicana Lagoon di Tanjung Rhu merupakan pembangunan berkonsepkan resort mewah yang dimulakan dengan 77 lot banglo pegangan bebas.

Projek itu turut dirancang merangkumi pembangunan kediaman dan hospitaliti pada masa hadapan bagi memenuhi permintaan segmen mewah serta pasaran rumah percutian. – UTUSAN

The post Fasa terakhir Tropicana Cenang capai 20 peratus pengambilan appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved