Fasih Bahasa Arab, Netizen Kagum Kebolehan Fadhlina Sidek — ‘Patutlah, datang dari keluarga ilmuan’

LocalPolitics
24 Jan 2026 • 7:26 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Satu rakaman video yang tular di TikTok baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila memaparkan kebolehan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bertutur dalam bahasa Arab dengan lancar ketika menyapa pelajar.

Menerusi perkongsian akaun @ero__76, beliau dilihat berinteraksi secara spontan dalam bahasa Arab bersama pelajar UniSIRAJ, sekali gus membuatkan rata-rata yang berada di situ terkejut dan kagum.

Pemilik akaun tersebut memuat naik video berkenaan dengan kapsyen, “Terkejut kami pelajar UniSIRAJ ketika disapa oleh menteri pendidikan dalam bahasa Arab.”

Menjengah ruangan komen, ramai netizen memuji kefasihan beliau, malah ada yang menyifatkan kebolehan itu bukan sesuatu yang pelik memandangkan Fadhlina dibesarkan dalam keluarga sarat dengan latar belakang pendidikan agama dan bahasa Arab.

Ada yang berkongsi ibunya merupakan Allahyarhamah Prof Dr Siti Zalikhah, ilmuan dalam bidang syariah dan undang-undang serta pensyarah UKM, manakala bapanya pula Almarhum Prof Dr Siddiq Fadzil, tokoh cendekiawan Melayu yang cukup dihormati. Malah, ahli keluarganya juga dikenali sebagai pakar bahasa Arab sehingga digelar ‘kamus Arab bergerak’.

Tidak kurang juga yang menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin wanita yang tegas dan cekal, tetap menjalankan tanggungjawab meskipun sering berdepan kritikan.

Dasar kemasukan murid enam tahun turut jadi perhatian

Terdahulu, Fadhlina turut menjadi tumpuan susulan pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun.

Beliau menegaskan bahawa dasar tersebut bukan bertujuan menjadikan kanak-kanak sebagai bahan eksperimen, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berfasa dan disokong mekanisme saringan yang menyeluruh.

Menurutnya, pelaksanaan itu merupakan sebahagian daripada perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dibentangkan serta dibahaskan di Dewan Rakyat, selain melalui pelbagai sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.

“Anak-anak kita bukan untuk ujian makmal atau ‘tikus makmal’. Dasar ini bukan bersifat rintis, sebaliknya dilaksanakan secara berfasa dan sukarela dengan sokongan diagnostik,” katanya.

Tambah beliau, hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia akan ditawarkan kemasukan berdasarkan saringan diagnostik, selain dibantu dengan sokongan psikososial bagi memastikan proses penyesuaian ke alam persekolahan berjalan lancar.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut membuat unjuran keperluan guru bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), mempercepatkan pengambilan guru secara Contract of Service (COS) serta merancang pembinaan bilik darjah tambahan secara berperingkat.

Fadhlina menegaskan keutamaan kementerian adalah memastikan murid menguasai literasi, numerasi dan kemahiran asas mengikut tahap perkembangan masing-masing, di samping menjaga kebajikan serta kepentingan kanak-kanak. – The Malaysian Update

The post Fasih Bahasa Arab, Netizen Kagum Kebolehan Fadhlina Sidek — ‘Patutlah, datang dari keluarga ilmuan’ appeared first on The Malaysian Update.