Fattah belum sedia ceraikan Fazura - Peguam

LocalEntertainment
25 Sep 2024 • 11:14 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fattah dan Fazura ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Rabu.

SUBANG BESTARI - Pelakon, Fattah Amin belum bersedia untuk bercerai secara baik dengan isterinya, Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Rabu.

Peguam syarie, Zulkifli Che Yong berkata, ini kerana anak guamnya yang juga pelakon filem 'Pendekar Awang' cuba untuk memuktamadkan terma-terma penyelesaian secara baik dengan Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40.

Semasa sebutan permohonan cerai di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh, peguam itu berkata, ia membabitkan isu-isu di sepanjang perkahwinan termasuk senario sekiranya berlaku perceraian.

Sekiranya mahu menyelesaikan perkara ini secara baik, beliau berkata, terma perjanjian perlu dimuktamadkan supaya konflik tidak berpanjangan dengan isu-isu yang tidak selesai.

“Pada 7 Oktober depan, Fattah selaku defendan akan menyatakan pendiriannya, sama ada bersetuju untuk berpisah atau sebaliknya.

“Ini merupakan prosiding mahkamah, jadi tiada kewajaran untuk anak guam saya menyatakan fakta kes kerana ia hanya akan memprejudiskan kes,” katanya.

Peguam ini turut mendoakan, Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34 dan pelakon filem ‘Gol & Gincu’ selaku plaintif dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga secara baik dengan terma persetujuan berkenaan.

Pada Selasa minggu lalu, tular satu kenyataan berhubung permohonan cerai secara baik, membabitkan rumah tangga pasangan pelakon terbabit.

Difahamkan permohonan tersebut dibuat di mahkamah ini, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

AKAN MENYUSUL