Favelle Favco menang kontrak RM90.6 juta pembekalan kren menara hingga 2027 di Australia

WorldBusiness & Finance
22 May 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Favelle Favco menang kontrak RM90.6 juta pembekalan kren menara hingga 2027 di Australia Image from: Favelle Favco menang kontrak RM90.6 juta pembekalan kren menara hingga 2027 di Australia amree22/05/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 MeiFavelle Favco Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran kren antarabangsa apabila anak syarikatnya berjaya memperoleh kontrak baharu berjumlah RM90.6 juta.



Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata anak syarikatnya yang berpangkalan di Australia, Favelle Favco Cranes Pty Limited menerima beberapa tempahan pembelian dan surat hasrat (LOI).


Kontrak tersebut jelas kumpulan tersebut, melibatkan pembekalan sejumlah kren menara kepada dua pelanggan utamanya, Marr Contracting Pty Ltd serta G A Caelli Holdings Trust di negara berkenaan.


"Bagi kontrak dengan Marr Contracting, kerja-kerja penghantaran kren tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat yang bermula penghujung 2026 hingga suku kedua 2027," kata Favelle Favco.


Sementara pesanan daripada G A Caelli Holdings Trust dijangka diselesaikan menjelang suku kedua tahun depan, dan nilai gabungan kontrak yang diperoleh itu berjumlah kira-kira RM90.6 juta.


Kumpulan itu berkata kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun berikutnya.


Bagaimanapun jelas Favelle Favco, kontrak terkini berkenaan tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat tersebut sepanjang tempoh kerja.


"Lembaga pengarah berpandangan yang penerimaan kontrak berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan pada masa hadapan," jelasnya.


Pada masa sama, syarikat mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak mempunyai kaitan yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.


Perolehan tempahan baharu itu dilihat mencerminkan permintaan berterusan terhadap produk kren menara keluaran Favelle Favco dalam sektor pembinaan dan infrastruktur antarabangsa.


Perkembangan semasa tersebut sekali gus memperkukuh buku tempahan serta prospek pendapatan kumpulan itu untuk tempoh jangka sederhana. - DagangNews.com

Terkini standard