
PETALING JAYA: Indeks FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) bergerak dalam julat 1,705 hingga 1,725 mata minggu ini dengan sentimen pasaran terus dipengaruhi perkembangan global.
Ketua Penyelidikan Rakuten, Kenny Yee berkata, pengalihan keluar daripada saham cip dijangka berterusan susulan jangkaan bahawa Indeks Harga Saham Komposit Korea (KOSPI) dan Indeks Berwajaran Taiwan (TWII) akan kembali mengalami turun naik ketara.
“Tumpuan pelabur pula dijangka beralih kepada laporan pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan pertumbuhan kukuh bagi suku semasa.
“Perkembangan di Asia Barat juga dijangka terus menjadi perhatian utama berikutan potensi kesannya terhadap harga minyak mentah global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi musim keputusan kewangan domestik, Kenny berkata, Rakuten menjangkakan sektor perladangan mencatat prestasi positif, manakala sektor lain dijangka kekal secara relatifnya stabil.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, indeks FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,735 mata dengan paras sokongan sekitar 1,700 hingga 1,705 mata.
Katanya, paras rintangan pula dianggarkan pada 1,725 hingga 1,735 mata sekiranya tiada kejutan besar melibatkan geopolitik atau ekonomi global.
“Sekiranya indeks berjaya menembusi paras rintangan tersebut dengan disokong volum dagangan yang kukuh, FBM KLCI berpotensi menguji paras lebih tinggi dalam tempoh terdekat.
“Namun, sekiranya sentimen global kembali lemah, pembetulan sederhana masih berkemungkinan berlaku dengan paras sekitar 1,714 mata kekal menjadi aras rujukan penting berdasarkan kedudukan pasaran semasa,” ujarnya.
Beliau berkata, bagaimanapun, prestasi Bursa Malaysia minggu hadapan dijangka dipengaruhi beberapa faktor utama.
“Ini termasuk pergerakan harga minyak mentah, hala tuju dasar kadar faedah AS, aliran dana asing serta musim pengumuman keputusan kewangan syarikat bagi suku tahunan.
“Dari sudut sektor, kaunter perbankan dijangka terus menjadi tumpuan berikutan margin keuntungan yang masih kukuh, manakala sektor pembinaan dijangka mendapat sokongan daripada momentum pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang kekal positif.
“Sektor utiliti pula berpotensi bertahan sebagai pilihan defensif ketika ketidaktentuan pasaran meningkat, sementara sektor minyak dan gas dijangka meraih manfaat sekiranya harga minyak mentah kekal tinggi.
“Bagi sektor teknologi, prestasinya dijangka lebih sensitif kepada sentimen pasaran global, khususnya pergerakan indeks Nasdaq dan perkembangan industri semikonduktor,” jelasnya. – UTUSAN
The post FBM KLCI dijangka sekitar 1,725 mata minggu ini appeared first on Utusan Malaysia.






