FBS sumbang lebih RM280,000 kepada badan amal di tujuh negara termasuk Malaysia

12 Jul 2023 • 5:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FBS sumbang lebih RM280,000 kepada badan amal di tujuh negara termasuk Malaysia

diyana

12/07/2023 - 17:23

KUALA LUMPUR 12 Julai - Syarikat pembrokeran antarabangsa, FBS telah menyumbang lebih daripada AS$62,000 (lebih RM280,000) kepada pelbagai badan amal bagi menyokong kira-kira 5,000 individu dari golongan kurang mampu di Malaysia, Indonesia, Nigeria, Mesir, Turki, Pakistan dan Yemen.

Pengarah Pemasaran Strategik, Ksenia Molodkina berkata FBS berhasrat untuk menyalurkan sumbangan kepada usaha membina masyarakat yang lebih makmur dan saksama, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Sejak 2014, FBS telah terlibat secara aktif dalam aktiviti amal sepanjang bulan Ramadan, dengan mengutip dan menyumbang kira-kira AS$1.3 juta kepada lebih daripada 30 organisasi di Asia Tenggara, Afrika, dan Timur Tengah,” katanya.

Menurut FBS, sumbangan tersebut telah dikumpul menerusi promosi amal yang dijalankan dalam bulan Ramadan baru-baru ini, di mana lebih daripada 29,000 pedagang dari 17 negara telah menyertai promosi amal FBS Trade & Aid (berdagang dan beramal FBS).

MyCare Foundation cawangan Malaysia merupakan badan amal yang menerima sumbangan tersebut dan telah menggunakannya untuk membuka tapak kolam ternak ikan air tawar, dalam usaha memperkasakan masyarakat untuk menjana pendapatan mampan bagi menyokong kumpulan miskin bandar di Bandar Tasik Selatan Kuala Lumpur.

Wakil MyCare Foundation Malaysia, Kamarul Halim Sakrani berkata sumbangan tersebut membolehkan yayasan itu dengan matlamat projek tersebut untuk mencetus transformasi.

“Keuntungan yang dijana daripada jualan ikan akan disalurkan ke dalam tabung kemasyarakatan, menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di dalam masyarakat, membolehkan mereka menggunakan dana tersebut untuk pelbagai urusan perniagaan dan keperluan peribadi.

“Dengan peluang menjana pendapatan serba baharu, anggota masyarakat di sini boleh mencapai potensi sebenar mereka, seterusnya mencetus kitaran kemajuan dan kemakmuran,” ujar beliau.

FBS berkata ia terus bertekad untuk menyokong inisiatif amal yang memainkan peranan dalam usaha kebajikan sosial dan pemerkasaan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

Jelasnya, usaha ini adalah sejajar dengan rancangan pembangunan kebangsaan bagi negara-negara yang turut serta, memberikan peluang kepada setiap pihak berkepentingan, termasuk syarikat swasta seperti FBS, untuk memainkan peranan masing-masing bagi mencapai agenda negara. - DagangNews.com