FDI Sabah dijangka lepasi RM7b

21 Aug 2022 • 12:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pelaburan langsung asing (FDI) Sabah berada dalam aliran meningkat dan dijangka melepasi paras RM7 bilion apabila pelaburan berimpak tinggi diambil kira pada tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Dari Januari hingga Ogos tahun ini, kita memperoleh pelaburan asing bernilai RM5.1 bilion, menunjukkan peningkatan daripada pelaburan asing bernilai RM4.4 bilion yang diperoleh pada Jun tahun lepas.

“Ini juga secara berkesan meletakkan Sabah sebagai negeri ketiga terbesar dalam pelaburan asing di Malaysia,” katanya pada majlis makan malam bersempena dengan lawatan Duta-Duta Negara Arab ke Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam Jumaat lalu.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata Sabah mendorong momentum ini dan beliau yakin Sabah akan kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan.

“Saya telah menegaskan sejak awal lagi bahawa kita mahu menjadi mesra pelabur dan kita akan mengurangkan semua halangan untuk memudahkan semua pelaburan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji mempelawa Duta-Duta Negara Arab untuk mempertimbangkan Sabah di mana Kerajaan Negeri telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.

Delegasi Duta-Duta Negara Arab terdiri daripada sembilan diplomat yang diketuai oleh Duta Yaman ke Malaysia yang merupakan Dekan Arab Diplomatic Corps di Malaysia, Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid, Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia Khalid AlGhaith, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Duta Jordan ke Malaysia Thamer Abdalla Mohammad Adwan.

Turut hadir ialah Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali, Duta Qatar ke Malaysia Fahad Yousef Kafoud, Duta Libya ke Malaysia Mohamed AM Attia dan Charge D’Affaires (Pegawai Kuasa Usaha) Sudan di Malaysia Omer Mahgoub Ahmed Oushek.

Dalam rekod, Ketua Menteri berkata perdagangan Malaysia dengan beberapa negara Arab memang baik. Sebagai contoh, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat sebanyak 130.2 peratus kepada RM2.87 bilion berbanding RM1.25 bilion untuk tempoh sama pada 2021.

Begitu juga, jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi meningkat sebanyak 116.7 peratus kepada RM16.98 bilion berbanding RM7.84 bilion (USD1.91 bilion) untuk tempoh sama pada 2021.

“Esok, Tuan-Tuan Yang Terutama akan dapat mendengar secara langsung daripada Invest Sabah Berhad, cabang pelaburan kerajaan negeri mengenai potensi besar Sabah dan peluang pelaburan yang luas. Saya berharap taklimat ini akan memberi gambaran yang lebih mendalam untuk meneroka kerjasama dan membina perkongsian menang-menang,” katanya.

Sementara itu, Dr Adel Mohamed dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan lawatan mereka ke Sabah sebagai bersejarah.

“Selepas Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kami percaya masanya sesuai untuk kita berganding bahu dan membantu mengatasi kesan pandemik itu,” katanya.

Dr Adel berkata, dalam hal ini, Duta-Duta Negara Arab di Malaysia memutuskan untuk melawat negeri di negara ini termasuk Sabah dan mencari peluang perniagaan.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Ariffin Arif, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.