Feby Putri 'Menggigil' Nyanyi Lagu Baharu di KL, Peminat Suruh Minum Air

Music
8 Mar 2023 • 9:07 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Feby Putri (kanan) menyifatkan kehadirannya di Kuala Lumpur sebagai sesuatu yang istimewa apatah lagi ini kali pertama dia membuat persembahan di luar Indonesia . - Gambar ihsan @sikecilcebestudio

“Maaf, saya gementar. Kalian ramai betul''.

Demikian kata penyanyi Feby Putri di atas panggung yang tidak menyangka Zepp Kuala Lumpur dibanjiri peminat-peminatnya pada Jumaat lalu

Penyanyi dan penulis lagu yang senang disapa sebagai Feby ini juga mendedahkan undangannya mengadakan konsert solo di Zepp KL merupakan detik bersejarah dalam hidupnya kerana inilah kali pertama gadis yang berasal dari Makassar, Indonesia itu keluar daripada Indonesia.

image is not available
Sebahagian peminat yang menyaksikan konsert Feby Putri di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

“Dahulu saya tertanya-tanya bila agaknya saya akan ke Kuala Lumpur kerana sering mendapat komen daripada kalian. Saya anggap itu mustahil. Tapi siapa sangka akhirnya saya sudah di sini.

“Ini kali pertama saya ke luar negara dan buat pasport. Terima kasih teman-teman, tak sangka saya ada pendengar seramai ini di Malaysia. Saya ingatkan yang datang hanya tiga baris ini,” tambahnya lagi disambut tepukan para peminat. 

Bukan itu sahaja, sempena penampilan istimewanya di Kuala Lumpur, Feby menghadiahkan sebuah lagu bertajuk Bagai Bintang Bulan yang masih belum diterbitkannya khas buat pendengar di Malaysia. Lagu itu ditulis Feby untuk menggambarkan perasaan mencintai seseorang yang tidak dapat dimiliki. 

image is not available
Feby menyanyikan 12 lagu ciptaannya sendiri seperti Liar Angin, Tanpa Pamrih, Cahaya, Dera, Rantau, Awal sehinggalah lagu popularnya Halu, Usik dan Runtuh.

Feby dilihat gementar di atas pentas namun rata-rata pengunjung menjerit meminta agar gadis bongsu daripada tujuh beradik itu untuk berhenti seketika dan meneguk air bagi menghilangkan gugup. 

“Maaf teman-teman, saya gugup. Tangan saya gementar. Tapi mendengar suara dan semangat anda semua, saya tidak gugup lagi,” jelasnya. 

Dalam tempoh konsert selama dua jam itu, Feby menyanyikan 12 lagu ciptaannya sendiri seperti Liar Angin, Tanpa Pamrih, Cahaya, Dera, Rantau, Awal sehinggalah lagu popularnya Halu, Usik dan Runtuh. - Getaran, 8 Mac 2023