
KUALA SELANGOR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah menubuhkan Federasi Ternakan Ayam bagi memainkan peranan mengelakkan kewujudan ‘orang tengah’ untuk memastikan kos dapat dikurangkan seterusnya harga ayam yang lebih rendah dapat dijual kepada pengguna.
"Di setiap negeri telah ada pusat tersebut dan Federasi yang ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia ini akan beli ayam dari ladang dan dikumpulkan di pusat itu yang kemudian diedar dan dijual terus kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.
Melalui federasi tersebut katanya, pengguna akan mendapat tawaran harga ayam yang lebih murah berbanding harga di pasaran luar.
"Sekarang ini kami sedang buat satu perjanjian bersama dengan 15 pihak koperasi dan syarikat-syarikat lain yang terlibat, insya-Allah dalam masa terdekat ia akan dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, Noh berkata, kementeriannya juga akan membawa masuk ayam sejuk beku dari luar negara ke pusat pengumpulan dan pengedaran tersebut bagi memberi pilihan untuk pengguna selain ayam segar.
"Macam daging juga, kami ada daging segar dan daging beku tetapi ayam beku itu nanti kami akan pastikan harganya lebih murah berbanding ayam segar,” katanya. - Bernama
