hamden19/03/2026 - 13:00 KUALA LUMPUR 19 Mac - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan kerajaan negeri Terengganu pada Rabu menandatangani perjanjian penyelesaian bagi menyelaraskan status pemilikan tanah ladang komersial di enam daerah di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, Felda memaklumkan daerah yang terlibat ialah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.
Menurutnya, langkah itu merupakan kesinambungan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak sejak 1969 di bawah Perjanjian Rancangan Pembangunan Tanah (Perjanjian Negeri Terengganu), berdasarkan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530).
“Penyelesaian ini akan menjana pulangan ekonomi dan manfaat kepada komuniti Felda secara keseluruhan, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan mereka,” menurut kenyataan itu.
Felda turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang bertindak sebagai pemudah cara utama, selain kerajaan negeri Terengganu dan pihak lain yang terlibat dalam memuktamadkan perjanjian tersebut.
“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri, serta Felda, menjadi pemacu utama dalam mencapai penyelesaian secara muafakat ini, sekali gus mencerminkan tadbir urus berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan notis melarang pencerobohan ke atas tanah yang diusahakan Felda melibatkan 10 ladang dengan keluasan kira-kira 15,000 hektar.
Kerajaan negeri mendakwa tanah tersebut dibangunkan tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.
Notis berkenaan dikeluarkan secara serentak kepada pengurusan ladang di enam daerah terbabit.
Bagaimanapun, kerajaan negeri kemudiannya melanjutkan tempoh pemulihan kepada Felda susulan perkembangan positif hasil rundingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohamad Azmi Mohd Daham berkata, siri rundingan antara kerajaan negeri dan Felda berjaya memuktamadkan terma-terma utama.
“Berdasarkan hasil rundingan, Felda akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada pihak berkuasa negeri dalam tempoh yang dipersetujui selepas perjanjian ditandatangani.
“Kerajaan Terengganu akan memproses permohonan tersebut dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri, akan mengeluarkan hak milik tanah kepada Felda dengan pengenaan bayaran premium dan cukai tanah selaras dengan Kanun Tanah Negara serta Peraturan Tanah Terengganu 1966,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata kerajaan Terengganu kekal komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada Felda bagi memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah bagi semua lot terlibat.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap hasil rundingan antara kerajaan negeri dan Felda dapat menyelesaikan semua isu tertunggak.
“Kerajaan negeri sejak awal komited dalam semua usaha rundingan. Alhamdulillah, kita berharap hasil rundingan antara kerajaan Terengganu dan Felda ini akan menamatkan semua isu terdahulu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau pada Rabu. - BERNAMA
