Felo SMJ lahir pemimpin muda berwibawa

LocalPolitics
4 Nov 2025 • 4:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri berjaya membuka ruang kepada golongan muda Sabah untuk berkembang dan menyumbang secara langsung kepada ekosistem pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata program berkenaan merupakan platform penting bukan sahaja dalam membina pengalaman, tetapi juga dalam membentuk jati diri, integriti serta kepimpinan berkualiti tinggi.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kerangka Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama ke arah masa depan Sabah yang mampan dan berdaya saing.

“Ini antara usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan golongan belia dan pelapis muda di Sabah,” katanya ketika menyampaikan surat pelantikan kepada 42 peserta Felo SMJ 4.0 di Menara Kinabalu, Isnin.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri bukan sahaja berhasrat melahirkan pemimpin yang cemerlang dalam ilmu dan kemahiran, tetapi lebih penting lagi, pemimpin yang mempunyai empati tulen terhadap rakyat.

“Pemimpin seperti ini akan memahami denyut nadi masyarakat, mengangkat suara rakyat dalam perbincangan dasar, serta mengutamakan semangat cintakan negeri melebihi kepentingan diri.

“Saya berharap felo-felo akan menjadi pencetus perubahan, menyalakan semangat kepimpinan yang ikhlas, berani dan berwawasan demi Sabah yang lebih maju, bersatu dan berjaya,” katanya.

Beliau turut menggesa Felo SMJ agar memanfaatkan peluang yang ada untuk memahami secara mendalam bagaimana pentadbiran kerajaan negeri berfungsi, termasuk proses merangka dasar, membuat keputusan dan melaksanakan dasar untuk rakyat.

“Jadikan program ini medan kepimpinan — tempat membina disiplin, empati, visi dan keberanian. Biarlah integriti menjadi teras diri.

“Ambillah peluang ini untuk membuktikan bahawa golongan muda mampu melahirkan idea bernas, menawarkan penyelesaian berani dan memimpin dengan tindakan yang berkesan,” tegasnya.

Menurut beliau, golongan muda bukan sekadar pewaris, tetapi aset penting dan waris masa depan yang sedang dibentuk hari ini.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua Felo SMJ. Jadikan pengalaman ini sebagai permulaan perjalanan kepimpinan yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri.

“Saya berharap generasi muda ini akan meneruskan legasi kepimpinan yang membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Hajiji turut merakam penghargaan kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyertai program tersebut atas komitmen berterusan mereka dalam menyokong pembangunan modal insan di Sabah.

“Saya dimaklumkan bahawa dalam siri kali ini, sebanyak 20 GLC terlibat berbanding hanya 10 sebelum ini.

“Pertambahan ini bukan sekadar angka, tetapi manifestasi kepercayaan dan sokongan padu yang mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan GLC dalam melahirkan generasi pemimpin muda Sabah,” katanya.

Beliau menambah bahawa ramai peserta program terdahulu telah ditawarkan peluang bekerja di GLC masing-masing selepas tamat program, sesuatu yang disifatkan sebagai perkembangan positif.

Katanya lagi, usaha berterusan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dalam mereka bentuk dan melaksanakan program yang menjadi platform penting bagi memperkasa bakat kepimpinan, meningkatkan daya saing serta mempersiapkan generasi pelapis negeri wajar dipuji.