Fenomena air pasang besar melanda Kampung Forest, Sandakan: Lebih 100 rumah ranap

27 Dec 2022 • 1:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Lebih 100 buah rumah di penempatan atas air Kampung Forest, di sini roboh dalam kejadian fenomena air pasang dan ombak pada Sabtu dan Ahad lepas.

Dalam kejadian Sabtu lalu, fenomena berkenaan telah menyebabkan 70 buah rumah musnah dan semua penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Pada Ahad, kejadian sama berlaku dengan kedalaman air pasang 2.8m dan menyebabkan 38 lagi buah rumah dikawasan sama roboh.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ditemui media di lokasi kejadian pada Isnin, Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek, berkata susulan kejadian, sehingga Isnin, seramai 684 mangsa terlibat ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sungai Anib 2, di sini.

Sementara di Kampung Tinosa 2, terdapat beberapa jambatan dilapor rosak dalam kejadian fenomena air pasang malam Sabtu lepas.

Bagaimanapun tiada pemindahan penduduk dilakukan.

“Kita juga telah memberikan hebahan dan menasihatkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan atas air dan pesisir pantai agar segera mengosongkan sementara rumah mereka dan pergi ke tempat selamat ketika air pasang itu,” jelasnya.

Pelbagai agensi dan jabatan terlibat dalam membantu penduduk yang terjejas oleh kejadian air pasang besar itu.

Selain polis, turut membantu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Sandakan dan Kementerian Kesihatan, antara lain.

“Untuk di kawasan ini sahaja, ada 11 pegawai dan 96 anggota terlibat dan ia tidak termasuk harian yang mana 70 anggota lagi akan dikerahkan untuk pergi ke setiap kawasan yang ditetapkan untuk pemantauan dan juga menasihati penduduk agar berpindah lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berharap mangsa fenomena air pasang di Kampung Forest, segera ditempatkan di PPR yang masih kosong antaranya PPR Taman Harmoni.

Menurut Vivian, terdapat sebuah blok kosong di PPR itu yang dikhaskan untuk kegunaan bencana.

“Bagaimanapun, ia tidak digunakan sehingga kini termasuk semasa pihak kami memohon mangsa kebakaran ditempatkan di PPR itu sebelum ini,” katanya sebelum menambah, tiada jawapan daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Menurut Vivian, blok berkenaan mengalami kerosakan kerana peralatan yang ada telah dicuri dan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru, Vivian berharap MPS dapat sama-sama tampil membantu mangsa bencana itu yang sangat terjejas teruk termasuk kalangan ibu tunggal dan warga emas yang kehilangan semua harta benda mereka dalam bencana Sabtu lepas itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa fenomena itu di Kampung Forest, di sini, Ahad lepas.

Vivian memberitahu, beliau akan bertemu dengan MPS bagi membincangkan lanjut berhubung keperluan mangsa bencana terlibat.

Sementara itu, mangsa-mangsa yang kehilangan rumah mereka akibat fenomena itu berkongsi situasi semasa kejadian itu dan berharap pihak kerajaan dapat membantu mereka dengan sewajarnya.

Muslimin Basanun, 70, yang tinggal bersama lapan anak dan tiga cucu dan sudah tinggal selama 20 tahun lebih di penempatan itu berkata, kejadian air pasang berlaku saban tahun.

“Tetapi, kali ini, ia agak luar biasa dengan ombak luar jangka dan bunyi yang agak kuat kami dengari sebelum kejadian pantas meranapkan semua rumah disini,” jelasnya yang tidak dapat menyelamatkan apa-apa harta benda kerana mengutamakan keselamatan ahli keluarganya.

Norazlina Abdul Fatah, 23, mereka juga tidak menyangka ombak sekuat itu.

Dia dan keluarga terpaksa merobohkan sebahagian lagi rumah mereka agar tidak memberi kesan teruk kepada rumah lain yang selamat bersama sebuah surau yang masih kukuh.

Mohamad Dalil, 59, yang tinggal bersama lapan anak dan menantu serta 4 cucu, sudah rasa tidak selamat tinggal di sana dan berharap mereka diberikan rumah PPR.

“Saya harap kerajaan dapat membantu kami,” katanya.

Maurin Abdul Dasim, 36, yang tinggal lebih 10 tahun di rumah itu bersama tujuh anaknya dan suami, bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat meskipun suaminya mengalami kecederaan ringan ketika menyelamatkan mereka.

Kakaknya, Siti Melin yang tinggal bersama 15 ahli keluarga yang lain sangat sedih dengan kejadian ini dan berharap ada pihak yang akan membantu mereka selepas pusat pemindahan sementara ditutup kelak.

“Kami kehilangan segalanya dan tudung yang saya pakai ini juga adalah pemberian orang ramai kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Ratna Unggul (Ratu) menyampaikan bantuan kepada mangsa kejadian itu yang kini berlindung di PPS SK Sungai Anib 2.

Pengasas NGO itu, Sanjana Awang Zainal, berkata, bantuan itu adalah sebagai tanda sokongan dan simpati mereka kepada semua mangsa.

Menurut Sanjana, bantuan itu atas inisiatif ahli-ahli Ratu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.