TANJUNG DAWAI – Kebimbangan penduduk Kampung Huma di sini kian memuncak setelah fenomena air pasang besar dan ombak kuat bukan sahaja menghakis pantai, malah kini menghampiri kediaman mereka.
Mohd Rozi Nayan, 58, berkata, hakisan pantai semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kegusaran penduduk terutama yang mempunyai ahli keluarga masih kecil mahupun warga emas.
Menurutnya, kawasan daratan yang dahulunya dipenuhi hutan, semak atau tanah lapang sejauh kira-kira satu kilometer, kini hanya tinggal kenangan.
"Dulu jarak pantai dengan rumah jauh dalam satu kilometer, tapi sebab hakisan, ombak tu betul-betul sampai rapat dengan rumah, pokok-pokok pula hanyut sedikit demi sedikit, nampak tak tunggul kayu dalam laut tu, itulah kesan hakisan.
"Kita harap projek kerajaan untuk atasi hakisan ini cepat siap, sebab makin lama makin teruk, setiap kali air pasang, penduduk terpaksa pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
**media[3527104]**
Selain itu, Maimunah Hassan, 56, berkata, suaminya berstatus kurang upaya kesan akibat dipatuk ular semasa keluar menangkul ketam tiga tahun lalu, setiap kali perlu berpindah ke PPS akibat fenomena air pasang, mendatangkan kesukaran buat mereka.
"Dia bertongkat, susah nak ke PPS, nak ke tandas, urus diri dan sebagainya, jika kena pindah, dia tak mahu, anak cucu lah temankan di rumah...saya dan yang lain akur arahan pindah sebab bimbang jika air pasang tiba-tiba habis masuk dalam rumah," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rosminah Ahmad, 54, berkata, ibunya berusia 84 tahun sudah uzur dan pergerakan terbatas.
"Sekiranya perlu berpindah ke PPS, saya terpaksalah tinggal mak di rumah dengan ada orang yang jaga.
"Disebabkan hakisan, tiada lagi pantai macam dulu, rumah kami betul-betul belakang laut, risau pun ada, tapi nak buat macam mana," katanya.
Selain itu, Haslina Saad, 56, berkata, air pasang dan ombak besar membawa bersama selut serta pasir menyebabkan perlu membersihkan rumah setiap kali fenomena berlaku.
"Saya dan suami dah tak larat nak cuci kalau teruk sangat dan kerap, kena panggil anak-anaklah di Sungai Petani bantu.
"Tahun lepas pun jadi juga fenomena air pasang ni, masa tu ada lagi pokok nyior belakang rumah, tapi sekarang habis semua dah dihanyutkan, takut juga masa akan datang bagaimana nasib kami dan rumah kami," katanya.
Jelasnya, pemasangan tebing batu di pesisir pantai termasuk di belakang rumahnya selepas fenomena sama berlaku tahun lalu, tidak mampu menahan ombak dari terkena dinding rumah sedangkan paras ketinggian air pasang di kawasan tersebut lebih tinggi beberapa kali ganda.
Sementara itu, Ketua kampung, Ahmad Fauzi Othman, 60, berkata, keadaan semasa ombak dan air pasang menyebabkan situasi penduduk kini dalam keadaan berjaga-jaga.
"Kesemua penduduk terjejas telah ditempatkan di PPS Kampung Sungai Pial sejak Sabtu dan hari ini kesemua mangsa telah dibenarkan pulang selepas lima hari keadaan reda.
"Bagaimanapun, cuaca semasa masih hujan, kita akan pantau jika ombak masih tinggi dan air pasang masih berlaku, kita minta semua penduduk berada dalam keadaan bersedia," katanya.
Beliau dalam masa sama menjelaskan, projek pemasangan tebing batu sebagai langkah jangka masa pendek mengatasi fenomena itu telah dilaksanakan kerajaan negeri tahun lalu sementara langkah jangka masa panjang iaitu projek mengawal hakisan pantai oleh kerajaan persekutuan dimulakan awal tahun ini, dijangka siap pada 2028.
