
GEORGE TOWN: Perkhidmatan feri baru di Pulau Pinang dilihat lebih memudahkan mobiliti rakyat dan pelancong dengan mewujudkan perjalanan yang lebih efisien dan selesa, selain merapatkan jurang fizikal antara Seberang Perai dan kawasan pulau negeri itu.
Tony Tay, 34, seorang penunggang perkhidmatan penghantaran berkata kerjanya memerlukan dia selalu berada di atas jalan raya menunggang motosikal dan perkhidmatan feri baharu ini dapat memendekkan masa perjalanan dari bahagian pulau ke Butterworth.
“Saya tinggal di bahagian pulau dan saya akan menaiki feri untuk ke Seberang Perai kerana di sana selalunya lebih banyak tempahan untuk saya berbanding di kawasan pulau, tambahan pula, di sana kawasannya lebih luas.
Dalam pekerjaan saya, masa itu sangat berharga. Feri baru ini lebih laju maka ia menjimatkan masa saya. Saya baru naik sekejap sudah nak sampai dan perjalanan itu hampir tidak dirasa,” katanya ketika ditemui oleh Bernama di terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini hari ini.
Katanya beliau juga akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dari semasa ke semasa tetapi kadang-kadang keadaan angin yang kuat boleh mengancam keselamatan penunggang motosikal.
Beliau berkata memandangkan perkhidmatan feri baharu ini percuma buat masa ini, Tay berhasrat untuk memanfaatkan perkhidmatan berkenaan dalam pergerakan hariannya semasa menghantar pesanan pelanggan.
Selain itu, dua wanita warga emas Zainah Lasa , 64, dan Zarimah Lasa, 60 yang merupakan adik-beradik mengambil peluang untuk menaiki feri baharu itu buat kali pertama sejak dilancarkan untuk bersiar-siar ke Butterworth.
“Kami tinggal di Bayan Lepas dan kami mahu merasa pengalaman menaiki feri ini selepas mendengar kawan-kawan kami memberi respons yang baik berkenaan pengalaman mereka.
Kami rasa seronok kerana pemandangan laut yang cantik termasuk Jambatan Pulau Pinang yang ikonik, tempat menunggu yang selesa serta keadaan feri itu sendiri yang cantik, baharu dan berteknologi tinggi,” kata Zarimah.
Pengguna feri akan dapat menikmati perkhidmatan feri, yang mampu membawa seramai 150 penumpang serta 50 motosikal dalam satu-satu masa, secara percuma sehingga 7 Sept ini. -Bernama

