Festival Filem Korea 2022 kembali, peluang tonton secara percuma

Movie
22 Nov 2022 • 12:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Festival Filem Korea (KFF2022) edisi keenam kembali menghiburkan semua peminat filem dan penonton baharu, menyaksikan filem-filem yang diketengahkan bakal ditayangkan secara percuma.

Menurut kenyataan Kedutaan Korea Selatan di sini, festival filem yang akan diadakan dari 25 hingga 27 Nov di pawagam GSC di Mid Valley Megamall itu menampilkan kesemua enam filem box-office, hanya 50 sen tempahan surcaj dikenakan.

“Kedutaan sentiasa berusaha untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada rakan-rakan di Malaysia yang ingin mengetahui lebih banyak mengenai Korea. Interaksi sebegini tidak seharusnya bersifat berat sebelah.

“Kerana itu kami berusaha untuk memperkenalkan budaya dan sejarah Malaysia kepada masyarakat Korea sambil mempromosikan budaya Korea di Malaysia,” kata Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae pada perasmian festival filem berkenaan.

Majlis itu diadakan di sini, malam tadi yang turut dihadiri pengarah terkenal dari Malaysia, U-Wei.

Yeo berkata: “Kami sudah melihat minat tentang Malaysia semakin meningkat di Korea sejak kebelakangan ini. Sebanyak empat filem Malaysia seperti ‘Stone Turtle’ dan ‘A place called Silence’ telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) bulan lalu.

“Kesemua filem itu mendapat respons positif daripada penonton,“ katanya sambil menyatakan trend itu bermula sejak dahulu lagi apabila U-Wei menyertai BIFF pertama dengan filemnya, ‘Kaki Bakar’.

Enam filem lain ialah “My Paparotti”, “Little Forest”, “Fengshui”, “A Taxi Driver”, “Assassination”, dan “I Can Speak”.

Butiran lanjut dan jadual tayangan filem boleh didapati di www.gsc.com.my. - Bernama