
Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 4 JUN: Lebih 500 pengunjung pelbagai kaum memeriahkan Festival Kartun Perpaduan Selangor anjuran Persatuan Seni Sketsa Selangor (Saksama) di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.
Penasihat Saksama Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar berkata penyertaan ramai itu membuktikan seni mampu menjadi medium ampuh menyemai keharmonian masyarakat dan lebih berkesan berbanding ceramah.

“Kalau ceramah, orang mengantuk. Tapi dengan seni, mereka terlibat secara langsung dan mesejnya lebih mendalam,” katanya yang juga kartunis undangan ketika ditemui Media Selangor.
Zunar memberitahu festival berkenaan menghimpunkan kartunis dari pelbagai latar untuk berkongsi visi menyatukan rakyat melalui lukisan dan ekspresi kreatif.
Terdahulu, festival anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dirasmikan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk bengkel lukisan bersama pelukis Orang Asli, pertandingan mewarna, sesi bersama kartunis Datuk Imuda, persembahan wayang kulit dan slot khas bersama pelukis mistik.
Sementara itu, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad berkata program itu selari dengan misi perpustakaan mendidik generasi muda agar lebih aktif dan kreatif serentak menjauhi ketagihan gajet.

“Sambutannya luar biasa, terutama daripada kanak-kanak. Mereka bukan sahaja seronok, malah dapat menyerlahkan bakat masing-masing,” katanya.
Beliau berharap program seumpama ini dijadikan acara tahunan bagi mendidik generasi muda secara formal dan tidak formal.
“Kita galakkan kartunis dan penggiat buku manfaatkan perpustakaan sebagai ruang pendidikan kreatif untuk generasi muda,” tambahnya.





The post Festival kartun perpaduan tarik lebih 500 pengunjung, seni satukan masyarakat appeared first on Selangorkini.
