
Festival Makanan Warisan Selangor 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi edaran 4,921 lempeng sagu biji mata ikan dan pembinaan formasi Rumah Api Kuala Selangor setinggi 25 meter menggunakan 55,000 keping kuih Beppa Pute.
Acara gilang-gemilang yang menarik hampir 10,000 pengunjung di Kompleks Sukan Kuala Selangor itu bukan sekadar pesta rasa, tetapi juga pentas mengangkat warisan Bugis dan keunikan kulinari Selangor ke peringkat nasional.
Selain deretan gerai makanan tradisi, festival turut diserikan dengan 13 aktiviti utama seperti demonstrasi masakan, pertandingan resipi rakyat, persembahan kebudayaan dan jualan produk tempatan yang memperlihatkan kreativiti usahawan desa.
Detik bersejarah itu dirakam jurufoto Remy Arifin ketika Pegawai Rasmi MBOR Megat Faris Megat Muzaffar Shah menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah.









