
PETALING JAYA, 25 SEPT: Penganjuran Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama 2023 selari usaha Kerajaan Negeri memupuk jati diri tinggi melalui seni dan budaya dalam kalangan generasi muda.
EXCO pembangunan wanita berkata program anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyemai unsur murni serta kecintaan kepada seni dan budaya dalam kalangan masyarakat sejagat.
“Ini adalah unsur terpenting yang tersirat dalam penganjuran festival ini yang perlu sama-sama dihayati dan meletakkannya sebagai satu keperluan dalam apa juga aspek pembangunan sama ada fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Kerajaan Negeri dan agensi di peringkat kementerian akan terus melaksanakan program berkaitan seni, budaya dan warisan negara,” kata Anfaal Saari pada majlis penutup festival berkenaan di Laman MBPJ, malam ini. Turut hadir Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir.

Anfaal berkata usaha mewujudkan satu negara bangsa adalah sangat penting untuk mengekalkan keharmonian terutama dalam suasana kepelbagaian etnik global.
“Walaupun berbeza nama, agama dan budaya namun kita telah buktikan sejak beberapa generasi bahawa sifat hormat-menghormati, saling percaya, toleransi dan muafakat adalah kunci kejayaan serta kemakmuran yang kita nikmati hari ini.
“Saya menyeru kepada semua untuk bersama-sama pihak kerajaan dalam usaha mewujudkan generasi yang berpegang teguh kepada budaya tradisi kerana inilah yang menjadi kedaulatan negara,” katanya.
MBPJ mewakili Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran festival bertemakan ‘Menghayati Budaya dan Warisan’ bermula 21 hingga 26 September ini.
Program diisi dengan beberapa aktiviti menarik antaranya persembahan kebudayaan antarabangsa, seminar kerjaya seni, Persidangan Seni Antarabangsa PJ 2023.




The post Festival seni pupuk jati diri belia, semarak keharmonian berbilang etnik appeared first on Selangorkini.

