FFCxTMTGM Hampiri Zon Kuning, Conscience Perlahankan Pergerakan

WorldPolitics
6 Oct 2025 • 7:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kapal Conscience ketika ini membawa kru pelbagai negara termasuk 20 wartawan dan 21 petugas perubatan

KUALA LUMPUR - Misi Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) dijangka memasuki Zon Kuning dalam tempoh 24 jam akan datang.

Pergerakan kapal utamanya, Conscience dilaporkan semakin menghampiri perimeter maritim Gaza, meskipun situasi ketika ini masih tegang selepas tentera Zionis ke atas peserta Global Sumud Flotilla (GSF).

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, Conscience berada kurang daripada 250 batu nautika dari Gaza setakat jam 2.20 pagi tadi.

Menurut beliau, kapal berkenaan yang membawa lapan delegasi Malaysia itu kini memperlahankan kelajuan bagi menangguhkan kemasukan.

“Ia bagi memberi peluang kepada lapan lagi bot layar lain, termasuk Umm Saad yang membawa seorang lagi wakil Malaysia, untuk bergabung semula sebelum menuju ke Zon Kuning,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Jelas Kamarul Zaman, flotila berkenaan sengaja mengelak daripada tiba pada 7 Oktober (esok) kerana bimbang Israel menggunakan ulang tahun operasi Taufan Al-Aqsa 2023 sebagai alasan untuk memintas atau menyerang konvoi tersebut.

“Tiga hingga empat dron turut dikesan berlegar di atas Conscience pada waktu malam, seperti dilaporkan oleh ketua delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.

“Latar belakang dron terbabit masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Beliau memberitahu, peserta Conscience turut berhubung secara langsung dengan Hospital Al-Awda di Gaza bagi mendapatkan perkembangan terkini dari lapangan.

“Pihak hospital memaklumkan bahawa klinik mereka mengalami kekurangan serius dalam peralatan dan bekalan perubatan.

“Mereka terpaksa menggunakan kaedah konvensional dan menyesuaikan peralatan sedia ada secara kreatif untuk merawat pesakit,” katanya.

Menerusi sidang media sama, Kamarul Zaman turut menyampaikan pesanan daripada Dr Fauziah Mohd Hassan yang menegaskan bahawa semangat delegasi kekal teguh meskipun selepas insiden menimpa GSF.

“Bukan sahaja tidak gentar, kejadian menimpa GSF malah semakin menguatkan tekad mereka untuk sampai ke Gaza bersama semua bantuan,” katanya.

Kapal Conscience ketika ini membawa kru pelbagai negara seramai 10 orang, bersama 20 wartawan antarabangsa, 21 petugas perubatan, tiga Ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis serta enam ahli Jawatankuasa Pemandu FFC. – Getaran, 6 Oktober 2025