FGV masih berdepan tempoh mencabar meski pengeluaran sawit diunjur meningkat FY24 - HLIB
herman
04/03/2024 - 12:17
KUALA LUMPUR 4 Mac - Kejayaan FGV Holdings Berhad mencatatkan untung bersih bagi tahun kewangan 2023 (FY23) tidak bermakna syarikat itu telah keluar daripada masalah, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
HLIB Research berkata, pemulihan itu disebabkan terutamanya oleh margin pemprosesan tandan buah segar (BTS) luaran yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Setakat ini, keuntungan bersih teras FY23 kumpulan itu bagaimanapun jatuh 93.6% kepada RM93 juta terutamanya disebabkan harga produk sawit yang lebih rendah dan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.
Kata firma penyelidikan itu, penurunan kerugian segmen gula susulan harga jualan purata (ASP) dan volum jualan yang lebih tinggi serta insentif yang diterima untuk gula pek tertentu yang dijual di pasaran domestik dapat mengurangkan impak segmen perladangan.
Di samping itu, pengeluaran buah tandan segar kumpulan pada Januari turun sebanyak 10.6% tahun ke tahun kepada 264,000 tan dan pengurusan FGV berkongsi bahawa pengeluaran BTS berkemungkinan kekal rendah untuk dua bulan akan datang, disebabkan kesan cuaca kering tahun lepas.

“Namun begitu, pengurusan FGV masih mengekalkan pertumbuhan keluaran BTS sebanyak 10% hingga 15% untuk FY24, kerana ia menjangkakan peningkatan produktiviti daripada kerja-kerja pemulihan yang dijalankan sejak tahun lalu,” kata HLIB Research.
Pengurusan juga menjangkakan kos pengeluaran MSM akan menurun sebanyak 15%-19% kepada RM2,200-RM2,300 satu tan pada FY24, berikutan produktiviti yang lebih tinggi dan harga baja yang lebih rendah.
Sementara itu, TA Research telah menyemak unjuran pendapatan FGV yang meningkat masing-masing sebanyak 19.8% untuk FY24 dan 83% untuk FY25, selepas mengambil kira pengeluaran BTS yang lebih tinggi, selaras dengan panduan pengurusan. - DagangNews.com
