
PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) membangunkan tiga penyelesaian baharu bagi memperkukuh inovasi pertanian seterusnya memastikan pemodenan sektor tersebut.
BacN-Fix, Adjuvax 248 dan FGV Geotagger Pro dibangunkan menerusi kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman FGV dan dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Pengarah Urusan Kumpulan FGV, Nurul Muhaniza Hanafi berkata, pemodenan sektor pertanian memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan teknologi dan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan sebenar.
“Dengan keupayaan R&D dan pengalaman operasi lebih lima dekad, FGV akan terus menterjemahkan kepakaran ini kepada inovasi yang meningkatkan nilai serta memberi manfaat kepada industri, pekebun kecil dan pengusaha pertanian,” katanya dalam kenyataan.
Pelancaran itu dilakukan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Beliau berkata, keupayaan R&D syarikat itu telah berkembang selama lebih lima dekad seiring dengan keperluan industri, meliputi pembangunan bahan tanaman, penyelesaian agronomi, teknologi hijau, pendigitalan dan automasi.
Ujarnya, dalam sektor perladangan, bahan tanaman yang dibangunkan FGV kini memenuhi lebih 40 peratus permintaan tahunan Malaysia bagi benih kelapa sawit bercambah dengan kapasiti pengeluaran sehingga 30 juta benih setahun.
“Kepakaran berkenaan turut diperluaskan kepada pembangunan inovasi bagi memenuhi keperluan lebih meluas dalam sektor pertanian, termasuk pertumbuhan dan perlindungan tanaman, penggunaan input pertanian secara cekap serta aplikasi teknologi dan data.
“Selain kelapa sawit, keupayaan R&D FGV turut merangkumi pembangunan bahan tanaman bagi tanaman bernilai tinggi seperti nanas, pisang dan kelapa,” jelasnya.
BacN-Fix merupakan penggalak pertumbuhan tanaman berasaskan bakteria bermanfaat yang membantu tanaman menyerap nutrien dengan lebih cekap, sekali gus menyokong perkembangan akar dan pertumbuhan tanaman.
Produk itu sesuai digunakan bagi pelbagai jenis tanaman dan telah diuji dalam keadaan tempatan, termasuk varieti padi tempatan, selain berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia.
Sementara itu, beliau berkata, Adjuvax 248 membantu meningkatkan keberkesanan racun perosak dan racun rumpai menerusi pengagihan semburan yang lebih baik.
“Penggunaan produk berkenaan berpotensi mengurangkan pembaziran dan keperluan aplikasi berulang, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan input pertanian serta mengurangkan kos operasi dan pelepasan karbon.
“FGV Geotagger Pro pula membolehkan pemetaan dan penentududukan kawasan ladang dilakukan dengan lebih tepat dan sistematik, dengan ketepatan antara satu hingga 10 sentimeter.
“Teknologi itu menyokong penanaman berketepatan tinggi, pemetaan kawasan dan pengurusan ladang, selain berpotensi digunakan dalam sektor pertanian dan geospatial,” jelasnya.
FGV menerusi anak syarikatnya, FGV Agri Services Sdn. Bhd., turut menerima Anugerah Peserta Paling Aktif di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) bagi kategori Bahan Tanaman, Tanaman Industri daripada Jabatan Pertanian Malaysia sempena MAHA 2026.
Kesemua tiga inovasi berkenaan telah dikomersialkan untuk kegunaan industri dan sektor pertanian. – UTUSAN
The post FGV perkasa sektor pertanian dengan tiga inovasi baharu appeared first on Utusan Malaysia.



