Fi Permit Makanan Ternakan Ditangguhkan Bermula Hari Ini

21 Jun 2022 • 2:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengumumkan penangguhan kutipan fi permit untuk empat komoditi makanan ternakan - jagung, soya, gandum dan makanan ternakan lain berasaskan haiwan dan tumbuhan - bermula hari ini bagi memudah cara pengimportan komoditi tersebut.

Kadar fi import yang dikenakan sebelum ini bagi jagung, gandum dan soya adalah RM15 bagi setiap permohonan permit manakala bagi permit makanan ternakan lain berasaskan haiwan dan tumbuhan adalah RM20 setiap permohonan.

MAFI dalam satu kenyataan hari ini berkata kos bahan mentah makanan ternakan yang tinggi dalam industri ternakan telah dikenal pasti sebagai antara faktor kenaikan harga bahan makanan seperti ayam bulat di pasaran tempatan.

“Sebahagian besar komoditi bahan mentah bagi tujuan makanan ternakan iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan diimport dari luar negara.

“Penangguhan fi permit bagi pengimportan komoditi tersebut dapat membantu mengurangkan kos logistik dalam usaha menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara,” kata MAFI.

MAFI berkata Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) juga akan melaksanakan proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi tersebut dalam usaha melancarkan proses pengimportan dan sekali gus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved