
FIFA Rancang Tubuh Syarikat Baharu Urus Piala Dunia, UEFA Persoal Ketelusan
Cadangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menubuhkan sebuah syarikat baharu bernilai AS$20 bilion (kira-kira RM85 bilion) bagi menguruskan kejohanan seperti Piala Dunia menerima kritikan keras daripada Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Menurut laporan CNN, Presiden FIFA, Gianni Infantino, merancang menubuhkan subsidiari komersial dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE) dengan kerjasama pelabur swasta, termasuk syarikat pelaburan yang dikaitkan dengan keluarga Kushner.

UEFA bagaimanapun mempersoalkan ketelusan cadangan tersebut sambil menegaskan bola sepak bukan aset yang boleh dijual kepada mana-mana pihak.
"Ia bukan milik FIFA untuk dijual. Tiada seorang pun daripada kita memiliki bola sepak," kata badan induk bola sepak Eropah itu dalam satu kenyataan.
Menurut UEFA, pihaknya memandang serius cadangan berkenaan dan menggesa semua persatuan bola sepak kebangsaan meneliti implikasinya.
"Jiwa dan tadbir urus bola sepak bukan aset untuk diperdagangkan, lebih-lebih lagi tanpa ketelusan mengenai siapa yang akan mendapat manfaat kewangan.
"Ini melangkaui batas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh badan pentadbir bola sepak," ujarnya.
Sementara itu, FIFA berkata FFE akan berfungsi sebagai entiti komersial yang menguruskan kejohanan utama termasuk Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.
Katanya, syarikat itu menyasarkan untuk mengumpulkan sehingga AS$4.2 bilion melalui penjualan pegangan minoriti kepada pelabur jangka panjang berdasarkan penilaian ekuiti sebanyak AS$20 bilion.
Menurut FIFA, badan induk itu akan mengekalkan kawalan penuh terhadap FFE, termasuk semua keputusan berkaitan tadbir urus bola sepak, penganjuran kejohanan, kalendar perlawanan serta aspek peraturan sukan.
Baca juga:"FIFA akan terus mempunyai kawalan tunggal ke atas FFE dan kuasa eksklusif dalam semua keputusan berkaitan bola sepak," katanya.
Dalam masa sama, FIFA berkata cadangan itu turut membuka peluang kepada 211 persatuan bola sepak kebangsaan untuk menerima sehingga AS$20 juta sebagai suntikan modal sekali sahaja sekiranya pelan tersebut diluluskan.
Infantino berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperluaskan manfaat ekonomi kepada lebih banyak negara anggota.
"Ini adalah mengenai pendemokrasian bola sepak di seluruh dunia," katanya sambil memaklumkan proses rundingan bersama ahli-ahli FIFA telah dimulakan.
Cadangan itu dijangka perlu mendapat kelulusan daripada kesemua ahli FIFA sebelum boleh dilaksanakan.
Ini bukan kali pertama Infantino mencadangkan kerjasama berbilion dolar dengan pelabur swasta.
Pada 2018, beliau pernah mengemukakan cadangan bernilai AS$25 bilion bagi mewujudkan kejohanan global baharu, namun rancangan itu gagal selepas menerima tentangan hebat daripada UEFA yang melihatnya sebagai ancaman kepada kejohanan utama Eropah seperti Liga Juara-Juara UEFA dan Kejuaraan Eropah.





