KUALA LUMPUR - Hanya beberapa jam sahaja lagi, Hari Pencalonan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal membuka tirai.
Seperti biasa, golongan majoriti senyap memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan beberapa kerusi.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid berkata pengundi tidak seharusnya terpedaya dengan pelbagai janji serta ikrar yang dibuat oleh sesetengah calon.
Menurut beliau, kesempatan yang ada harus digunakan sebaiknya untuk menilai sendiri kemampuan calon.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, terdapat banyak pergerakan melibatkan calon. Ada yang bertukar parti dan ada juga yang memilih untuk bertanding sebagai calon bebas.
“Masing-masing membuat janji dan mencipta slogan baharu untuk menarik perhatian pengundi, tetapi keputusan akhir tetap berada di peti undi,” katanya kepada Getaran.

Jelas Aidi, pengundi seharusnya belajar daripada pengalaman dan mengundi berdasarkan rekod prestasi yang terbukti, bukan sekadar cakap kosong.
Tegasnya, Pakatan Harapan telah menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat persekutuan kerana barisan pemimpin yang memahami keperluan rakyat dan benar-benar merasai kesusahan mereka.
“Hal yang sama terpakai untuk Sabah. Adalah penting bagi seorang calon memahami keperluan rakyat Sabah dan bukan sekadar mencipta slogan menarik dengan harapan dapat memenangi hati mereka.
“Sejak pilihan raya Sabah yang lalu hingga kini, jumlah pengundi telah bertambah lebih 700,000 dan sebahagian besar mungkin masih belum membuat keputusan.
“Golongan majoriti senyap inilah yang perlu membuat pertimbangan yang bijak dan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan,” tegasnya.
Bercakap dalam sesi podcast PKR “Kerusi Biru”, Aidi turut memberi peringatan terhadap tindakan sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sering memainkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti pengundi tempatan.
Gesanya, rakyat Sabah tidak boleh membiarkan emosi mengatasi pertimbangan waras ketika mengundi.
Aidi juga menegaskan bahawa tindakan UPKO meninggalkan gabungan PH bukan demi kepentingan pengundi, tetapi lebih kepada kepentingan peribadi.
Katanya, ia hanya tindakan oportunis dan perjudian untuk meraih lebih banyak undi dengan bertanding sebagai parti tempatan.
“Apa yang penting ialah parti mana yang mampu deliver. Dan seperti yang ditekankan berkali-kali oleh Perdana Menteri, hubungan kukuh antara kerajaan persekutuan dan negeri amat penting untuk kejayaan setiap negeri dan negara secara keseluruhan.
“Jadi, saya merayu kepada pengundi muda dan majoriti senyap agar berfikir dengan bijak dan mengundi berdasarkan apa yang terbaik untuk masa depan, bukan semata-mata kerana sentimen tempatan,” tambahnya. – Getaran, 14 November 2025
