Filem Bahasa Melayu Pertama Berentap Di Festival Filem Locarno!

Movie
7 Jul 2022 • 4:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Filem 'Stone Turtle' telah dipilih untuk berentap di Festival Filem Antarabangsa Locarno - Gambar ihsan Greenlight Pictures Sdn Bhd

Filem Stone Turtle telah dipilih untuk berentap di Festival Festival Filem Antarabangsa Locarno iaitu antara lima festival filem paling berprestij di dunia. Filem ini adalah filem bahasa Melayu pertama yang menyertai kategori utama festival ini.

Filem arahan Woo Ming Jin ini bakal bersaing di Pertandingan Utama ‘Concorso Internationale’ untuk beberapa kategori iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

Dibintangi Bront Palarae dan pelakon Indonesia Asmara Abigail, filem bahasa Melayu membawakan genre thriller dramatik ini akan menggabungkan aksi langsung dan animasi, menceritakan kisah kembara masa seorang wanita dan lelaki di pantai timur yang terjerat dalam kancah penipuan yang berbahaya.

“Kami tidak sabar untuk menayangkan filem kami bersama pembikin-pembikin filem hebat di Locarno.

Stone Turtle bercerita tentang keterangkuman dan keupayaan untuk mengambil risiko. Ini secara langsung mencerminkan semangat di sebalik pembikinan filem ini. 

image is not available
Dua bintang utama filem 'Stone Turtle', Bront Palarae dan Asmara Abigail

“Filem kami mengetengahkan bakat-bakat hebat dari negara yang berbeza. Kami juga membikin filem ini untuk memelihara cerita-cerita rakyat,” kata Ming Jin yang sebelum ini pernah memenangi anugerah di Torino, Itali menerusi filem Elephant and The Sea.

Walaupun filem ini berlatarkan kisah di Malaysia, namun ia menggabungkan bakat-bakat besar dari pelbagai negara.

Selain pelakon yang dipilih dari Malaysia dan Indonesia, proses seperti penataan bunyi, colour grading dan gubahan muzik dikendalikan unit pasca-produksi yang hebat dari Thailand.

image is not available

Manakala, animasi filem ini pula dihasilkan oleh seorang juruanimasi British yang pernah bekerja di Studio Ghibli yang berpengkalan di Jepun. 

“Ini berita yang sangat baik, bukan sahaja untuk pasukan Stone Turtle tetapi juga untuk industri perfileman Malaysia. 

“Saya gembira untuk Ming Jin dan seluruh pasukan. Saya tidak sabar untuk berkongsi filem ini dengan semua,” kata Bront Palarae dalam satu kenyataan akhbar.

image is not available
Pengarah filem 'Stone Turtle', Woo Ming Jin

Stone Turtle bakal ditayangkan di Piazza Grande di Locarno, sebuah tempat tayangan terbuka yang mempunyai kapasiti 8,000 penonton. - Getaran, 7 Julai 2022