Filem KAMI patut ada ‘reboot’, Amir Ahnaf sesuai ganti saya – Nas-T

EntertainmentMovie
2 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Filem KAMI patut ada ‘reboot’, Amir Ahnaf sesuai ganti saya – Nas-T

KUALA LUMPUR: Menyedari filem ikonik KAMI The Movie masih mempunyai kelompok peminat setia walaupun hampir dua dekad diterbitkan, pelakon, Nas-T berpendapat naskhah itu wajar diberi nafas baharu menerusi sebuah versi reboot.

Nas-T atau Nas Muammar Zar Nasruddin, 42, berkata, karya tersebut mengangkat realiti kehidupan anak muda serta semangat independen yang masih relevan sehingga kini.

Malah, katanya, industri seni tanah air ketika ini mempunyai ramai pelakon muda berbakat yang mampu menghidupkan semula karya berkenaan.

“Saya rasa menarik kalau KAMI dibuat semula, cuma dengan pendekatan dan hala tuju yang berbeza serta menggunakan barisan pelakon baharu.

“Kalau ditanya siapa yang sesuai membawa watak saya, Abu, saya nampak pelakon-pelakon daripada Projek: High Council mampu melakukannya antaranya Amir Ahnaf.

“Dia ada kualiti yang sesuai untuk menggantikan saya membawakan watak Abu.

“Pelakon asal bolehlah pegang watak sampingan seperti guru muzik atau mana-mana karakter lain dalam filem itu. Janganlah pula jadi bapa kepada mereka, kami belum tua sangat,” katanya berseloroh ketika ditemui Utusan Malaysia di Lembaga Getah Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nas-T mengakui pengalaman membintangi siri drama dan filem francais KAMI kekal menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang bergelar anak seni.

Katanya, dia bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada naskhah yang memberi impak besar kepada generasi muda ketika itu.

“Saya bersyukur kerana pernah terlibat dalam projek yang memberikan impak kuat kepada satu generasi. Kadang-kadang bila dikenang semula, saya sendiri seperti tidak percaya pernah menjadi sebahagian daripada naskhah itu.

“Kalau boleh, legasi dan genre indie itu diteruskan. Janganlah ia terhenti setakat kami sahaja. Saya harap akan terus ada pembikin filem yang menghasilkan karya berjiwa indie,” katanya.

Menurut Nas-T, tidak hanya akrab di dalam naskhah malah hubungan persahabatan antara barisan pelakon utama KAMI juga masih kekal sehingga hari ini.

“Kami semua, Syahrul, Liyana, Jue dan Ani masih berkawan baik. Walaupun Ani agak jauh, kami tetap berhubung dan saling bertanya khabar. Di media sosial pun kami masih saling menyokong dan menyukai hantaran masing-masing.

“Kalau pihak produksi Red Communications mahu menghasilkan semula cerita ini, saya rasa semua orang akan bersetuju,” katanya.

KAMI The Movie diterbitkan pada 2008 sebagai kesinambungan kepada siri televisyen KAMI yang mula disiarkan pada 2007. Filem itu mengisahkan perjalanan lima sahabat, Ali, Lyn, Abu, Adii dan Sofie, dalam menempuh liku kehidupan remaja yang berlatarbelakangkan dunia muzik indie.

Filem arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak itu dibintangi Syahrul Ezani, Liyana Jasmay, Nas-T, Ani Zayanah Ibrahim serta Juliana Evans. -UTUSAN

The post Filem KAMI patut ada ‘reboot’, Amir Ahnaf sesuai ganti saya – Nas-T appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved