Filem pendek ini buat ibu bapa rasa takut, tapi patut tengok

EntertainmentFamily & Parenting
4 Aug 2025 • 9:15 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Filem pendek Yogurt Asli arahan Mohammad Adib Mohd Azhar mencuri perhatian ramai apabila berani membongkar isu sensitif berkaitan pendedahan awal kanak-kanak terhadap kandungan dewasa, sekali gus dinobatkan sebagai Pemenang Pengarah Terbaik dalam program Cine-Royale: The Grand Premiere. 

Adib berkata, inspirasi menghasilkan naskhah tersebut tercetus selepas menyedari fenomena sosial membimbangkan yang kian berleluasa, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang semakin mudah mengakses media sosial tanpa batasan umur. 

“Saya perhatikan banyak perkara tidak bermoral berlaku dalam masyarakat kita. Apabila saya selidik, saya dapati kandungan dewasa ditonton secara meluas, termasuk dalam kalangan pengguna muda,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam filem pendek itu, Adib menjadikan seorang kanak-kanak sebagai watak utama selain menjadi simbol kepada keterbukaan media digital yang tidak mengenal usia dan sempadan.

“Ramai terlupa bahawa media sosial tiada pagar umur. Kanak-kanak hari ini terdedah kepada pelbagai kandungan tanpa sempadan dan saya sengaja letakkan watak kanak-kanak sebagai simbol untuk menyedarkan penonton betapa seriusnya isu ini,” jelasnya.

Tambahnya, pemilihan tajuk Yogurt Asli juga bukan sekadar rekaan, malah membawa maksud tersirat sebagai satu metafora untuk menyampaikan mesej secara halus dan berlapis.

“Saya pilih nama makanan buah sebagai metafora kerana saya mahu penonton fikir dan rasa, bukan sekadar lihat,” katanya lagi.

Menariknya, Yogurt Asli bukanlah naskhah pertama Adib, namun merupakan hasil karya paling berani sepanjang pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Ini adalah short film terakhir saya. Sebelum ini saya buat komedi romantik, tapi kali ini saya mahu cabar diri dengan sesuatu yang luar dari zon selesa,” katanya jujur.

Beliau turut mengakui kegusaran utamanya bukanlah terhadap penerimaan khalayak atau penilaian juri, sebaliknya terhadap pandangan kedua-dua ibu bapanya.

“Saya sebenarnya lebih risau tentang apa yang ibu bapa saya akan rasa bila tengok filem ni,” katanya sambil tersenyum.

Yogurt Asli kini dianggap sebagai satu contoh keberanian mahasiswa dalam mengangkat isu yang jarang diperkatakan secara terbuka, sekali gus membuka ruang dialog tentang perlindungan kanak-kanak di era digital.

Untuk info, The Grand Premiere merupakan acara kemuncak Cine-Royale, menampilkan karya pelajar tahun akhir dari Program Filem, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM Puncak Perdana dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC). 

Program ini dianjurkan oleh pelajar Semester 4 program Ijazah Sarjana Muda Kepujian Filem (Pengarahan), Ijazah Sarjana Muda Kepujian Filem (Sinematografi) dan Diploma Filem, merangkumi pelbagai tayangan seperti filem pendek, iklan televisyen (TVC) dan pengumuman khidmat masyarakat (PSA) yang mengetengahkan tema sosial melalui lensa kreatif anak muda Malaysia.

View Original Article