Filem Seram Tempatan 'Don't Look At The Demon' Berjaya Masuk Pasaran Amerika Utara - Zahidi

Movie
30 Sep 2022 • 7:14 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zahidi Zainul Abidin ketika menghadiri tayangan perdana filem 'Don't Look at the Demon' di Pawagam DADI, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam tadi. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Filem seram Don't Look At The Demon, sebagai filem Malaysia pertama memasuki pasaran Amerika Utara sekali gus membuka jalan untuk kejayaan dalam produksi tempatan masa depan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Menaraf filem itu sembilan daripada 10, katanya, filem tersebut, yang diterajui oleh pengarah dan penerbit filem tempatan, Brando Lee, memberi peluang kepada penonton antarabangsa untuk mempelajari dan memahami budaya, tradisi dan tarikan pelancong di Malaysia.

“Sekarang kami telah memasuki pasaran Amerika Utara, kami boleh berusaha untuk mencapai tahap baharu dengan menyasarkan memburu anugerah seperti Oscar, Emmy, dan banyak lagi dalam masa terdekat,” katanya selepas tayangan perdana filem itu di Pawagam DADI, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Selain Lee, tayangan perdana tersebut turut dihadiri pelakon, Malin Crépin, kelahiran Sweden yang membawakan watak Martha dan pelakon tempatan Hafidzuddin Fazil memegang watak sebagai pelayan bar.

Don't Look at the Demon, dengan bajet pembikinan hampir RM9 juta akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 6 Oktober ini dan sehari kemudian di lebih 250 pawagam di Amerika Utara.

Berdasarkan kisah sebenar, filem tersebut mengisahkan sekumpulan penyiasat paranormal Amerika Syarikat yang telah mengembara ke Bukit Fraser di Pahang untuk menyiasat kejadian ghaib di sebuah rumah yang dibina pada tahun 1970-an. - Bernama