Filem Zim Zim Ala Kazim - Mawi Terkejut Ustaz Kazim Elias Boleh Berlakon Dengan Baik  

Movie
16 May 2023 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mawi cukup kagum dengan bakat lakonan semula jadi yang dimilki Ustaz Kazim Elias. - Gambar oleh Ellyna Ali

Penyanyi yang kini bergelar penyampai radio, produser dan pengarah filem, Asmawi Ani atau Mawi tidak menyangka bahawa Datuk Ustaz Kazim Elias yang ditampilkannya sebagai watak teraju utama dalam filem terbaharu arahannya, Zim Zim Ala Kazim mempunyai bakat lakonan yang besar. 

“Ustaz Kazim jadi hero filem ini dan hampir 90 peratus filem ini menampilkan babak lakonannya. Kiranya dari awal sampai habis, Ustaz Kazim ada dalam filem ini. 

“Tapi, saya memang tidak sangka, bakat lakonannya begitu bagus sekali. Itulah perkara pertama yang membuatkan saya terkejut sewaktu saya mula-mula mengarah filem ini,” katanya sewaktu membuka cerita.

image is not available
Boleh dikatakan 100 peratus kisah dalam filem Zim Zim Ala Kazim ini memaparkan kisah benar tentang Ustaz Kazim. - Gambar fail

Mengakui bahawa Zim Zim Ala Kazim adalah sebuah filem yang memaparkan kisah benar tentang Ustaz Kazim, Mawi memberitahu, dia cukup tertarik untuk memfilemkan perjalanan hidup pendakwah tempatan terkemuka itu selepas beliau sering bercerita mengenai penyakit misteri yang dihidapinya itu.

“Penyakit misteri dia sangat unik. Memandangkan, saya sendiri pernah lalui benda-benda mistik nih, jadi saya tahu perkara ini memang wujud. 

“Mungkin dulu kita tak percaya, tapi bila kita dah lalui, kita faham. Nak bagi orang faham, memang mereka kena lalui sendiri pengalaman tersebut. Tapi, sedikit sebanyak kisah Ustaz Kazim dekat dengan saya,” katanya. 

Menurut Mawi lagi, boleh dikatakan 100 peratus kisah dalam filem Zim Zim  Ala Kazim ini memaparkan kisah benar tentang Ustaz Kazim. 

“Tapi, kita ada olah sedikit sebanyak 10 hingga 15 peratus untuk menjadikan ia lebih menarik. Syuting untuk filem ini keseluruhannya dilakukan di kawasan Manjoi, Perak iaitu di kawasan Ustaz Kasim sendiri.  

“Filem ini sebenarnya memaparkan tentang perjalanan Ustaz Kazim dalam dunia dakwah. Tentang cabaran yang dilalui dalam menyebarkan dakwah Islam. 

“Apa yang saya hendak sampaikan dalam filem ini juga adalah sifat Ustaz Kazim itu sendiri yang sanggup memaafkan orang, juga tentang sihir yang memang sudah wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. 

“Supaya masyarakat hati-hati jika melalui ujian besar seperti sihir ini dan kita kena sentiasa memaafkan, itu matlamat utama,” jelasnya. 

image is not available
Filem ini juga memaparkan cabaran yang dilalui Ustaz Kazim dalam menyebarkan dakwah Islam. - Gambar oleh Ellyna Ali

Menceritakan pengalamannya sewaktu menjayakan syuting filem Zim Zim Ala Kazim ini, Mawi berkata, dia tidak dapat melupakan satu insiden bila darah tiba-tiba keluar dari kulit Ustaz Kazim biarpun dia masih belum masuk ke set lagi. 

“Muka beliau juga tiba-tiba penuh dengan bintik-bintik merah dan Ustaz Kazim beritahu saya bahawa dia telah cuba dihalang untuk berlakon. 

“Saya cuba juga sebab ada di antara budak-budak krew yang sudah mula goyang. Namun, Ustaz Kazim menyatakan kepada saya, usah risau. 

“Hanya dia seorang saja yang akan diserang dan ia tidak melibatkan orang lain. Tapi, disebabkan penyakit misterinya itu, Ustaz Kazim telah mengeluarkan duit sendiri untuk membeli barangan dan peralatan mekapnya sendiri. 

“Dia beritahu, ini untuk kegunaan saya sahaja. Saya tak mahu artis lain pakai dan kongsi dengan saya, nanti mereka terkena pula,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, filem Zim Zim Ala Kazim yang sepatutnya dihasilkan untuk tayangan Astro First terpaksa melakukan sedikit  penambahan proses pos produksi untuk membolehkan ia melepasi tayangan pawagam terlebih dahulu. 

Zim Zim Ala Kazim adalah filem ketiga arahan dan lakonan Mawi selepas Hantu Kuat Ketawa (2022) dan Tiada Tajuk (2019). - Getaran, 16 Mei 2023