Filipina: 45 mangsa tanah runtuh diselamatkan, 41 lagi masih hilang

7 Feb 2024 • 4:25 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MANILA: Seramai 45 daripada 86 pekerja syarikat perlombongan yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Davao del Oro di selatan Filipina berjaya diselamatkan pasukan penyelamat, kata jurucakap tentera pada Rabu.

Tanah runtuh itu berlaku kira-kira 7.50 malam waktu tempatan (1150 GMT) pada Selasa, berhampiran sebuah tapak perlombongan di bandar Maco.

Jurucakap bagi Markas Pemerintahan Komando Timur Filipina, Rosa Ma. Cristina Rosete-Manuel, berkata seramai 41 lagi pekerja masih belum ditemukan, lapor Xinhua.

Manuel berkata tiga daripada mangsa yang terselamat dilaporkan dalam keadaan kritikal manakala usaha mencari mangsa lain masih diteruskan.

Kira-kira 600 orang berhampiran lokasi kejadian telah dipindahkan dan terdapat beberapa individu lain dilaporkan terjejas akibat kejadian itu.

“Jalan raya masih tidak dapat dilalui dan tiada isyarat telefon bimbit di kawasan itu,“ kata jurucakap berkenaan.

Sementara itu, pegawai agensi pencegahan bencana wilayah, Ed Macapili, dalam wawancara di radio memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat mangsa tertimbus disambung semula pada pagi Rabu. -Bernama

View Original Article