FIMM tegur bekas perunding skim unit amanah atas kesalahan melakukan transaksi pertukaran tanpa kebenaran

16/05/2025 - 15:46
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 16 Mei – Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) menegur seorang bekas perunding skim unit Amanah (UTS) kerana melakukan transaksi pertukaran pelaburan tanpa kebenaran pelabur.
FIMM berkata, bekas perunding UTS di Bank Rakyat, Noor Hafiza Ghaza didapati menjalankan transaksi pertukaran dalam dua akaun milik Pelanggan A serta satu akaun pelaburan bersama milik Pelanggan A dan B tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
Kesalahan tersebut telah dikenal pasti oleh Bank Rakyat sebelum dilaporkan kepada FIMM.
Susulan itu, Hafiza telah digantung pendaftarannya dengan FIMM selama tiga tahun bermula 15 April 2025.
FIMM berkata, teguran awam itu bertujuan memberi mesej tegas yang akan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Tindakan itu bertujuan mencegah perunding Skim Unit Amanah (UTS) atau Skim Persaraan Swasta (PRS) daripada melakukan salah laku serta mengingatkan mereka tentang kepentingan mematuhi peraturan FIMM demi melindungi kepentingan pelabur," kata FIMM dalam satu kenyataan.
FIMM bertanggungjawab mengawal selia dan memantau ahli serta individu berdaftarnya dengan tujuan mengekalkan standard profesional yang tinggi dalam industri pengurusan pelaburan sambil mengutamakan perlindungan pelabur.- DagangNews.com
standard


