Finas fokus bangunkan jenama Borneo

17 Dec 2023 • 3:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

[email protected]

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menumpukan usahanya membangunkan arena perfileman Sabah dan Sarawak, khususnya ke arah membina penjenamaan Borneo.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, jenama Borneo sudah wujud sejak 50 hingga 60 tahun lalu, dan ia harus dikembangkan ke tahap lebih tinggi untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Kalau dilihat dari segi trend pembelian kandungan daripada platform penstriman atau OTT (over the top), seperti Amazon, Viu dan Netflix, mereka inginkan kandungan yang baharu dan segar.

“Dan kita tahu Borneo mempunyai idea dan cerita rakyat yang menarik dan unik yang boleh dijadikan tatapan untuk masyarakat antarabangsa.

“Apabila saya datang ke International Film Festival di Singapura baru-baru ini, saya ada bertemu dengan pembeli atau orang industri dalam pasaran antarabangsa, mereka mengatakan yang mereka telah membeli beberapa filem daripada Borneo.

“Ini adalah satu perkembangan yang bagus dan harus menjadi batu loncatan untuk kita menghasilkan lebih banyak karya daripada Sabah dan Sarawak yang boleh dibeli oleh penerbit antarabangsa atau pihak OTT,” katanya kepada pemberita, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Terdahulu, Azmir, yang baru dilantik ke jawatan berkenaan berkuat kuasa 1 November lalu, merasmikan Golden Wind Award (GoWA) edisi ketiga anjuran Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA) di pusat beli-belah City Mall, baru-baru ini.

Azmir berkata, Finas juga ingin meningkatkan kerjasamanya dengan kerajaan negeri dalam memastikan kejayaan pembangunan arena perfileman di Borneo, khususnya Sabah.

Menurutnya lagi, beliau percaya Sabah dan Sarawak perlu diberikan kebebasan untuk membangunkan industri dan komuniti perfilemannya sendiri, dan kepimpinan Finas sedia bekerjasama dalam usaha untuk melangkah ke hadapan.

“Saya rasa untuk kita menguruskan industri ini antara Borneo dan Semenanjung, kita harus memberikan mereka (Borneo) kuasa (authority) untuk membangunkan industri dan komuniti perfileman mereka sendiri, kerana mereka lebih memahami situasi dan keperluan mereka.

“Saya tahu Kerajaan Negeri Sabah juga ada menganjurkan beberapa program mereka sendiri, dan kebanyakannya lebih kepada latihan dan akses pasaran.

“Oleh itu, pada pandangan saya, penting untuk kepimpinan Finas dan Kerajaan Negeri meningkatkan kerjasama ini dalam usaha kita untuk melangkah ke hadapan.

“Antara isu yang boleh dibincangkan bersama kerajaan negeri adalah bagaimana kami boleh mendedahkan bakat-bakat baharu dengan pasaran antarabangsa,” katanya.

Azmir berkata, selaras dengan hala tuju Finas untuk menjadi lebih dinamik dan mesra pemain industri, badan terbabit akan meningkatkan keterlibatannya dengan penggiat seni di Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti keperluan mereka dari semasa ke semasa.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan penggiat perfileman di Sabah pagi ini untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka.

“Daripada maklum balas ini, mereka meminta Finas untuk lebih fokus ke arah pembangunan skrip, pemprosesan pemasaran, dan juga program ‘mentorship’.

AZMIR ketika berucap pada majlis anugerah GoWA di Kota Kinabalu, baru-baru ini

“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF), dan saya percaya Sabah memerlukan lebih banyak program seperti ini, khususnya dalam bekerjasama dengan pemain antarabangsa kerana saya percaya dalam industri ini ‘networking’ adalah cukup penting,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, Finas melalui Unit Latihan Industri telah melaksanakan program pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak merangkumi pelbagai bengkel dan latihan.

Sepanjang 2023, kata beliau, sebanyak 25 program telah diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme penggiat industri di Borneo.

“Oleh itu, Finas akan terus mengadakan lebih banyak program pembangunan modal insan berkualiti di Sabah bagi melahirkan modal insan dalam industri kreatif yang berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Pembangunan modal insan atau kemahiran amat penting, dan sudah tentu ia adalah satu proses yang panjang dan memerlukan antara lima hingga 10 tahun untuk kita melihat hasilnya,” katanya.

Ditanya mengenai kutipan hambar filem tempatan Sabah, Azmir menyifatkan trend itu berlaku susulan penurunan jumlah penonton yang datang ke pawagam.

“Trend ini tidak hanya berlaku ke atas filem Sabah sahaja, saya rasa trend kutipan (filem) rendah turut berlaku di seluruh dunia.

“Selepas pandemik, tidak dinafikan terdapat peningkatan positif dari segi jumlah penonton, namun tahun ini kita dapati berlaku penurunan disebabkan beberapa sebab.

“Antaranya, isu ekonomi dan peperangan di Palestin yang turut memberi kesan ke atas pola perbelanjaan orang ramai khususnya untuk hiburan,” katanya.

Begitu pun, katanya lagi, Finas akan meneruskan usaha untuk mempromosikan karya tempatan.

“Finas sudah pun berbincang dengan pengusaha pawagam bagi mengadakan kempen untuk menarik lebih ramai penonton kembali ke panggung wayang,” tambahnya.

Azmir juga tidak menolak bahawa Finas akan memperketatkan lagi kriteria-kriteria pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) kepada penggiat filem selepas ini.

“Kemungkinan besar memang ada. Saya bersama pihak pengurusan dan latihan percaya kami harus lebih fokus kepada hasil, iaitu kualiti berbanding kuantiti.

“Ini juga selaras dengan hasrat dan amanat daripada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) untuk memastikan kita (Malaysia) menghasilkan kandungan lebih berkualiti untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Tahun ini, sebanyak empat filem terbitan dan arahan sepenuhnya penggiat seni Sabah berjaya menembusi pawagam, namun polemik tercetus apabila kutipan bagi karya-karya ini dilihat kurang memberangsangkan.

Semakan data Skim Wajib Tayang (SWT) Finas menunjukkan filem Silence of The 177 sekadar mengutip RM14,782.43, Tribesman: The Last Red Hunter (RM10,994.95) dan KK Knockout mengumpul RM69,531.05, untuk tempoh tayangan 14 hari.

Sementara itu, satu lagi filem, Namatai: From Kinabalu With Love bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Disember ini. Keempat-empat filem ini adalah penerima dana DKD Finas.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article