FINAS tidak campur tangan pemilihan juri FFM - Hans Isaac

LocalMovie
22 Oct 2026 • 5:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: FINAS tidak campur tangan pemilihan juri FFM - Hans Isaac
Hans Isaac ditemu bual pemberita selepas majlis penyampaian Insentif Tayangan Filem Cereka di Menara FINAS Damansara, pada Khamis. Foto: Bernama

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak campur tangan dalam isu pemilihan panel juri mahupun penentuan pemenang Festival Filem Malaysia (FFM), kata Pengerusinya, Datuk Dr Hans Isaac.

Mengulas kritikan terhadap pemilihan pelakon yang tidak berjaya memasuki kelompok lima calon terbaik atau Top 5, beliau berkata, keputusan FFM bukan ditentukan FINAS, sebaliknya oleh panel juri.

Beliau berkata, proses pemilihan juri dilaksanakan menerusi undian, manakala pihak pengurusan FINAS termasuk dirinya, tidak mengetahui identiti juri hingga pada malam anugerah.

"FINAS tidak campur tangan langsung dalam pemilihan juri. Kami hanya menyediakan fasiliti dan melancarkan proses sahaja dan untuk pemilihan juri perkara itu dipilih melalui undian.

"Undian pula daripada beberapa orang dan bila nama itu dipilih, orang yang mengundi pun tidak tahu siapa (yang dipilih),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian ITFC 2.0 di Menara FINAS di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Hans berkata, FINAS turut menambah baik proses pemilihan pemenang dengan melibatkan penggiat industri yang pernah memenangi anugerah FFM sebelum ini.

"Kami juga tukar proses, bila sampai ke Top 5, pemenang-pemenang sebelum ini akan mengundi untuk pemenang yang terbaik. Tidak pernah benda ini berlaku di FINAS. Kami dah belajar daripada tahun-tahun sebelum ini untuk memperbaiki prosesnya,” katanya.

Beliau berharap penggiat industri perfileman tempatan dapat menerima keputusan FFM dengan hati terbuka dan terus menyokong antara satu sama lain demi perkembangan industri seni negara.

"Kekecewaan apabila tidak terpilih sebagai calon atau pemenang sesuatu anugerah merupakan perkara biasa, tetapi tidak seharusnya mematahkan semangat penggiat industri untuk terus berkarya,” katanya.

FFM35 bertemakan "Spektrum Sinema” dijadual berlangsung pada 21 November ini di Panggung Sari, Istana Budaya di sini. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved