
SETIAP disiplin ilmu mempunyai salasilahnya. Dalam tradisi persilatan Melayu, ilmu diwarisi melalui guru yang dikenal pasti dan sanadnya dijaga supaya tidak diselewengkan.
Prinsip sama wajar diterapkan dalam dunia akademik, khususnya apabila Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan semakin dikembangkan.
Pengasas kedua-dua kerangka ini ialah Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Beliau juga penerima Anugerah Tokoh Buku Negara 2024/2025.
Beliau mengkonseptualkan istilah watan pada 2013 melalui kajian sarjana falsafah (PhD), lalu memperkukuhnya dalam tesis PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2017.
Rumusan itu diterbitkan dalam Konsep Kedaulatan Watan: Suatu Pengenalan (2017). Antara penerbitan pasca tesis PhD beliau pula ialah Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan dan Prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Jurisprudens Watan: Perlembagaan Persekutuan – Teks, Konteks & Isu-Isu Ketatanegaraan (2018). Yang terbaharu ialah buku Fiqh al-Watan dan Himpunan Rencana Pilihan. Semua ini rekod awam yang boleh disemak.
Watan dalam kerangka beliau bukan sekadar tanah air. Ia ialah keseluruhan kebijaksanaan tempatan, iaitu peradaban, bahasa, adat, falsafah, pandangan dunia dan kedaulatan yang berakar di sesuatu tempat.
Paksinya ialah pepatah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Bumi melambangkan realiti alam dan tempatan, langit melambangkan wahyu dan kedua-duanya dijunjung serentak.
BUKAN NARATIF ILMU KOLONIAL
Jurisprudens Watan menafsir perlembagaan dan undang-undang melalui teks, konteks dan sejarah perundangan tempatan. Sandarannya ialah perjanjian dan instrumen yang sahih, bukan sumber sekunder serta naratif ilmu kolonial dan orientalis.
Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 sendiri menjadikan keadaan tempatan sebagai batas penerimaan undang-undang Inggeris.
Kaedah ini terserlah dalam rencana beliau seperti Menangkis naratif penjajahan de facto di Pahang. Tentang institusi beraja, rencana Beradab beri pandangan kepada Agong, kita bukan Westminster menegaskan raja Melayu tidak boleh difahami melalui acuan monarki British.
Rencana Prinsip kedaulatan watan struktur asas utama perlembagaan pula meletakkan kedaulatan raja-raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai teras Perlembagaan Persekutuan.
FALSAFAH KONTINUM: JAWAPAN KEPADA SEKULARISME
Dalam Falsafah Kontinum Jurisprudens Watan merungkai sekularisme, beliau membezakan dua kerangka:
• Kerangka kontinum melihat wahyu sebagai kesinambungan fitrah, dengan al-Quran sebagai muhaimin (al-Maidah: 48). Kerangka ini inklusif terhadap apa jua sistem yang tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
• Kerangka dikotomi memutuskan urusan awam daripada wahyu. Sekularisme bersifat eksklusif kerana menyingkirkan agama daripada ruang awam.
Daripada Jurisprudens Watan lahir Fiqh al-Watan, iaitu disiplin gunaan yang merangkumi kenegaraan, amalan beragama dan kemasyarakatan. Untuk menterjemahkannya ke dalam dasar, beliau memperkenalkan alat diagnostik PoCFAM: Potensi, cabaran, pemudahan cara, aulawiyyat dan maqasid.
Ada yang mendakwa Fiqh al-Watan bukan baharu kerana fuqaha telah lama menggunakan ‘urf sahih dan maslahah mursalah.
Beliau menjawab dalam Fiqh al-Watan sebagai satu kerangka konseptual bahawa kaedah-kaedah itu hanyalah instrumen teknikal usul al-fiqh. Yang wujud sebelum ini ialah fiqh di dalam sesebuah wilayah, sedangkan Fiqh al-Watan ialah fiqh tentang watan itu sendiri.
Beliau memenangi 10 Anugerah Buku Negara sejak 2018 dan menghasilkan lebih 200 artikel jurnal, rencana, makalah dan kertas kerja. Kemuncaknya, beliau diiktiraf sebagai Tokoh Buku Negara 2024/2025 selaku Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan.
MENJAGA INTEGRITI ILMU DAN SALASILAH GAGASAN
Perkembangan Fiqh al-Watan wajar disambut baik. Istilah ini kini semakin meluas digunakan dalam tajuk artikel dan penyelidikan yang dibiayai geran. Namun, penglibatan pengasasnya tidak kelihatan jelas, begitu juga sejauh mana metodologinya dipatuhi.
Fiqh al-Watan ialah produk Jurisprudens Watan. Dalam pengertian ini, ia bukan sekadar istilah umum yang bebas ditafsir tetapi kerangka yang dibangunkan secara khusus melalui metodologi induknya.
Maka amat mustahak tidak dikembangkan oleh mana-mana pihak, termasuk pemimpin institusi yang berkemampuan kewangan, secara bertentangan dengan konsep asalnya atau terpisah daripada metodologi yang melahirkannya. Mengembangkan Fiqh al-Watan tanpa metodologi induknya bererti memisahkan buah daripada pokoknya: namanya kekal tetapi maknanya terputus.
Sebagai contoh, Fiqh al-Watan menolak naratif negeri-negeri Melayu pernah dijajah dan kontrak sosial ialah asas pembinaan Persekutuan, kerana kedua-duanya menafikan kedaulatan raja-raja Melayu.
Fiqh al-Watan juga menolak naratif perkembangan tamadun Tanah Melayu bersandar pada pengaruh penjajahan. Justeru, penulisan yang menggunakan nama Fiqh al-Watan tidak sewajarnya membawa naratif sedemikian.
Jika tidak dikawal dari awal, istilah yang sama akan membawa makna berbeza dan naratifnya menjadi kabur, sekali gus menjejaskan integriti institusi penaja dan integriti ilmu itu sendiri. Institusi yang ingin memperkasa Fiqh al-Watan sewajarnya melibatkan pengasasnya secara langsung.
Antara platform awal yang mendukung pengembangan pemikiran watan sejak 2017 ialah Majlis Ittihad Ummah, KOR AKWAM 181, Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), UMPSA dan Gabungan Mi’raj. Penghargaan juga wajar diberikan kepada semua yang membawa pemikiran watan ke ruang awam.
Harapannya, pemikiran watan terus berkembang dengan berpaksikan fitrah manusia, Falsafah Kontinum, serta fitrah dan keadaan tempatan, bagi membina naratif kebijaksanaan tempatan serta menyahkan sudut pandang ilmu kolonial dan orientalis yang berat sebelah.
Apabila semua pihak seiring dengan rumusan asal pengasasnya, usaha ini akan saling menguatkan, bukan bersaing.
Sebagaimana pesilat menjaga sanad gurunya, masyarakat ilmu wajar menjaga salasilah gagasan ini dengan jujur. Kebijaksanaan Melayu tidak memerlukan pengesahan Barat untuk bernilai. Ia hanya memerlukan anak watannya membaca semula sumbernya dengan yakin, dan mengiktiraf mereka yang merintis jalannya. –UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah KOR AKWAM 181, Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia.
The post Fiqh al-Watan angkat kebijaksanaan Melayu appeared first on Utusan Malaysia.
