SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merampas khemah milik Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang di ibu negara pada Selasa.
Menerusi kenyataan terbaharu di Facebooknya pada Rabu, Firdaus mendakwa DBKL memberikan alasan khemah berkenaan menghalang jalan sehingga tindakan rampasan dibuat.
“DBKL kata khemah 10x10 MRM menghalang jalan = DIRAMPAS!
“Yang ini tidak menghalang jalan. Jalan yang menghalangnya. Salah jalan bukan salah kuil. DBKL kena robohkan jalan.
‘Gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang lautan’,” ujarnya dipercayai merujuk isu sebuah kuil yang terletak di ibu negara, Kuala Lumpur.
Kenyataan itu dipercayai sebagai perbandingan kepada tindakan penguatkuasaan DBKL terhadap reruai Street Dakwah anjuran MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina itu di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.
DBKL pula kemudiannya mengeluarkan kenyataan di mana tindakan penguatkuasaan di Jalan Bukit Bintang, berhadapan Bangunan Yayasan Selangor pada Selasa dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selepas menunggu wakil MRM lebih 30 minit di lokasi.
Jelasnya, hasil pemantauan di lapangan mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki yang merupakan kawasan awam dan ia perlu sentiasa bebas halangan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.
Susulan itu, kata kenyataan tersebut, petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat.
Bagaimanapun, menurutnya lagi, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL.
Sehubungan itu, DBKL memaklumkan, pihaknya mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa.
Respons DBKL dibidas kembali oleh Firdaus dengan mengatakan kenyataan yang menyebut bahawa 'tiada wakil pihak MRM tampil memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL selepas menunggu 30 minit' sebagai tidak benar.
Ini kerana menurutnya, hanya seorang sukarelawan MRM bertugas pada hari kejadian, namun terpaksa meninggalkan reruai sekitar 15 hingga 20 minit atas urusan peribadi seperti ke tandas dan tukar telefon disebabkan bateri lemah.
Bagaimanapun, jelas beliau, sekembalinya sukarelawan tersebut ke reruai, dia ternampak sekumpulan 12 pegawai DBKL berada di situ.
"Hanya seorang sukarelawan MRM bertugas semalam. Sukarelawan yang sama melaksanakan aktiviti Street Dakwah hampir setiap hari di lokasi sama sejak 2 Februari lalu!
"Sekembalinya ke reruai, salah seorang pegawai meminta wakil MRM tunjuk lesen DBKL. Kalau tiada wakil MRM, dengan siapa pegawai itu bercakap? Kalau tiada wakil MRM tampil, bagaimana gambar khemah dengan latar belakang 12 pegawai DBKL boleh ditangkap? Siapa yang tangkap?" katanya.
Beliau turut mengepilkan bukti bergambar di mana MRM meletakkan reruai tanpa khemah sejak 2013 dan mula memacakkan kanopi pada 2022 hanya apabila adanya program di lokasi tersebut, bukannya khemah kekal.
Pengasas dan bekas pengerusi MRM itu juga mempersoalkan tindakan petugas DBKL yang tidak mengeluarkan kompaun jika benar terdapat pelanggaran peraturan sepertimana tertulis dalam kenyataan balas pihak tersebut.
Jelasnya lagi, pihaknya tiada masalah untuk membayar kompaun sekiranya betul-betul didapati bersalah.
Tambahan pula, dakwa Firdaus, DBKL merampas barangan dakwah MRM, namun tidak mengeluarkan inventori jenis item yang dirampas.
"Kalau salah, MRM akan mengaku salah dan bayar kompaun. Atau ada arahan daripada pihak tertentu yang tidak dinyatakan? soalnya.
Justeru, Firdaus mencabar DBKL untuk mengeluarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membuktikan betul atau tidak kononnya tiada wakil MRM tampil memberikan penjelasan.
