Firma Hong Kong, FWD Group kuasai saham FWD Takaful, KWSP pegang 30%

Business & Finance
11 Mar 2024 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Firma Hong Kong, FWD Group kuasai saham FWD Takaful, KWSP pegang 30%

herman

11/03/2024 - 15:20

KUALA LUMPUR 11 Mac - Syarikat insurans berpengkalan di Hong Kong, FWD Group Holdings Limited kini muncul sebagai pemegang saham utama FWD Takaful Bhd dengan pegangan sebanyak 70 peratus.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula memegang baki 30 peratus.

Ini selepas FWD Group Holdings Ltd memaklumkan telah menyempurnakan pelaburan tambahan sebanyak 21 peratus dalam FWD Takaful.

Susulan urus niaga tersebut, JAB Capital Berhad kini bukan lagi pemegang saham FWD Takaful.

Pengarah Urusan FWD Group, Binayak Dutta berkata, pihaknya gembira dapat meningkatkan pelaburan dalam FWD Takaful selepas pertama kali memasuki pasaran Malaysia lima tahun lalu.

"Komitmen kami untuk mengubah cara orang ramai terhadap takaful di Malaysia adalah dengan membina kehadiran kami dalam komuniti tempatan untuk jangka panjang.

“Dengan komitmen berterusan Kumpulan FWD di Malaysia, kami menawarkan rangkaian perkhidmatan yang lengkap dengan menyediakan kedua-dua produk takaful keluarga dan insurans hayat dalam pasaran yang berkembang pesat dengan potensi jangka panjang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rantau Asia Tenggara penting secara strategik untuk FWD Group dengan lebih separuh daripada nilai perniagaan baharunya disumbangkan oleh operasinya di rantau itu.

Malaysia pula adalah pasaran insurans hayat keempat terbesar mengikut premium di Asia Tenggara.

FWD Group memasuki pasaran Malaysia pada 2019 sebagai penyedia produk takaful keluarga dengan menguasai 49 peratus kepentingan dalam FWD Takaful.

Pada 2023, FWD Group menawarkan perkhidmatan penuh di Malaysia, dengan penyelesaian takaful keluarga dan insurans hayat melalui penubuhan FWD Insurance Bhd.

Ini berikutan sempurnanya pelaburan syarikat dengan pelabur lain, dalam perniagaan yang dahulunya dikenali sebagai Gibraltar BSN pada 3 April 2023.

FWD Group diasaskan oleh hartawan Hong Kong, Richard Li pada 2013 dan kini beroperasi di Hong Kong, Macau, Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Jepun, Singapura dan Kemboja. - DagangNews.com

View Original Article