Firma Korea Selatan, Simmtech siapkan pengembangan fasa kedua bernilai RM326 juta di Batu Kawan

30/04/2025 - 15:03
KUALA LUMPUR 30 April - Sustio Sdn Bhd anak syarikat Simmtech Group dari Korea Selatan bakal menggandakan pengeluaran papan litar berprestasi tingginya selepas siapnya fasa kedua pengembangan bernilai RM326 juta di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Papan litar canggih dan berprestasi tinggi (high-density interconnection printed circuit boards - PCBs), digunakan dalam telefon pintar dan pusat data.
Sejak mula beroperasi di Batu Kawan, Sustio telah melabur sebanyak RM750 juta, termasuk RM326 juta bagi fasa kedua. Pelaburan itu telah mewujudkan 1,400 pekerjaan bernilai tinggi serta mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif Simmtech Co Ltd, Jeffery Chun berkata, kumpulan itu yakin terhadap bakat, infrastruktur dan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor global.
"Sustio bukan sahaja menyokong keperluan teknologi global, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan," katanya.
Sustio, yang dilancarkan di Pulau Pinang pada Mei 2022, mengeluarkan PCB dan substrat untuk semikonduktor dan ia merupakan sebahagian daripada rangkaian global Simmtech dengan kilang di Korea Selatan, China dan Jepun.
Kumpulan itu merancang perkembangan selanjutnya yang tertumpu kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan Sustio kini sedang mereka bentuk bangunan ketiga dan telah membeli tanah untuk bangunan keempat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyambut baik pengembangan itu dan menyifatkannya sebagai petunjuk peranan Batu Kawan yang semakin penting dalam pembuatan elektronik berteknologi tinggi.
“Ketika Pulau Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, kerajaan negeri kekal komited untuk meningkatkan infrastruktur yang menyokong dan melengkapi keperluan pelabur,” katanya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zalina Zainol memuji usaha Sustio dalam menyelaraskan perniagaannya dengan teknologi generasi baharu.
“Dengan menyelaraskan strateginya bersama teknologi generasi seterusnya, terutamanya inovasi dipacu AI, Sustio bukan sahaja membangunkan perniagaannya, malah membantu memacu dan mengangkat keseluruhan ekosistem semikonduktor negara,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1987, Simmtech telah menerajui kemajuan dalam pembungkusan semikonduktor, termasuk menjadi yang pertama di Korea Selatan membekalkan komponen utama untuk DRAM (Dynamic Random-Access Memory) dan NAND flash.
DRAM merupakan memori sementara yang digunakan semasa peranti dihidupkan, manakala NAND flash ialah storan kekal yang menyimpan data walaupun peranti dimatikan.
Berkedudukan ibu pejabat di Cheongju, Simmtech juga menjalankan operasi pembuatan serta fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China, Jepun, dan Pulau Pinang.- DagangNews.com
standard



