Firma teknologi asing kuasai 90% iklan digital di Malaysia, cabaran ekonomi bagi media tradisional - TA Securities

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2024 • 2:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Firma teknologi asing kuasai 90% iklan digital di Malaysia, cabaran ekonomi bagi media tradisional - TA Securities

herman

06/08/2024 - 14:41

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Firma teknologi gergasi seperti Google dan Facebook menguasai kira-kira 80% hingga 90% daripada pendapatan iklan digital di Malaysia yang memberi kesan ketara terhadap kewangan saluran media tradisional.

TA Securities Research berkata, dominasi syarikat gergasi asing tersebut juga telah secara fundamental mengganggu model perniagaan media tradisional.

Kata firma penyelidikan itu, kawalan monopoli ke atas perbelanjaan iklan digital ini menimbulkan cabaran ekonomi yang besar bagi syarikat media dengan merosakkan aliran pendapatan daripada iklan dan langganan.

"Kekurangan kerangka peraturan memburukkan lagi cabaran ini membolehkan syarikat teknologi besar beroperasi dengan pengawasan longgar dan tanggungjawab yang kurang.

"Ini seterusnya menyukarkan usaha untuk menguruskan maklumat yang salah, bias dan mengawal kandungan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut TA Securities, Media Prima Berhad juga diakui menghadapi cabaran besar daripada keadaan pasaran dan persaingan sengit oleh gergasi teknologi asing.

image is not available

Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya nilai sebenar Media Prima terletak pada OMNIA yang memberikan penyelesaian disesuaikan melalui profesionalisme, pengalaman, ekosistem pengiklanan yang komprehensif dan data berharganya.

"Disokong oleh pelan perniagaan tiga tahunnya, OMNIA berada pada kedudukan yang baik untuk menarik lebih ramai pelanggan melalui kandungan yang dipertingkatkan dan meningkatkan hasil jualan," jelasnya.

Kata firma tersebut, ini termasuk memanfaatkan peningkatan pada papan iklan digital OMNIA yang menawarkan kuasa harga lebih baik.

Menurutnya, inisiatif ini dipercayai akan menjadikan Media Prima kekal relevan dalam industri dan meningkatkan hasil jualan.

"Salah satu perubahan ketara ialah pertumbuhan pendapatan yang diselaraskan untuk OMNIA kepada 7% dan 8% (FY25 dan FY26), daripada 2% sebelum ini.

"Selain itu, untuk FY25 dan FY26, kami telah meningkatkan ramalan pertumbuhan pendapatan pengiklanan luar (OOH) kepada CAGR sebanyak 5%, berbanding CAGR sebelum ini sebanyak 2.5%," ujarnya.

Menurut TA Securites, harga sasaran (TP) untuk Media Prima telah disemak kepada 40 sen sesaham yang sebelumnya 36 sen.

"Walau bagaimanapun, kami mengekalkan saranan 'Jual' untuk saham ini kerana potensi risiko-ganjaran masih tidak memihak.

"Kami melihat belanja iklan yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan sebagai pemangkin penilaian semula utama untuk saham ini," katanya. - DagangNews.com