Bila sebut Hong Kong, ramai pasti terus terbayang Disneyland, bangunan pencakar langit dan pemandangan Victoria Harbour. Namun, selepas berpeluang menyertai lawatan media ke Hong Kong baru-baru ini, kami sedar bandar raya ini sebenarnya menawarkan jauh lebih banyak pengalaman menarik yang boleh dinikmati dalam beberapa hari sahaja.
Sepanjang berada di sana, kami berpeluang meneroka beberapa lokasi ikonik yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Ada yang menawarkan panorama bandar yang memukau, ada yang membawa kami mengimbau sejarah bola sepak dunia, malah ada juga pengalaman unik yang membolehkan kami menghasilkan cenderamata sendiri.
Jika anda ada perancangan untuk bercuti ke Hong Kong, ini antara tempat yang sempat kami kunjungi, selain beberapa lagi destinasi yang kami cadangkan untuk dimasukkan ke dalam itinerari anda.
#1 Sky Terrace 428

Mulakan percutian anda dengan menikmati panorama bandar Hong Kong dari Sky Terrace 428, iaitu dek pemerhatian tertinggi yang terletak di The Peak.
Pada ketinggian 428 meter dari aras laut, pengunjung disajikan pemandangan 360 darjah yang menakjubkan meliputi Victoria Harbour, deretan bangunan pencakar langit di Central serta kawasan pergunungan di sekitarnya. Ramai pelancong memilih untuk datang pada lewat petang supaya dapat menikmati suasana siang, matahari terbenam dan panorama malam dalam satu lawatan.
Tidak hairanlah mengapa ramai pelancong sanggup beratur untuk menikmati pemandangan dari sini. Kami sendiri mengambil masa agak lama untuk merakam gambar kerana setiap sudut kelihatan begitu cantik.
Selain menjadi lokasi kegemaran jurugambar, Sky Terrace 428 juga merupakan tempat terbaik untuk memahami mengapa Hong Kong sering digelar antara bandar dengan latar langit paling cantik di dunia.
Cara ke sini: Naiki MTR ke Central Station, kemudian berjalan kaki ke Peak Tram. Dari situ, anda hanya perlu menaiki Peak Tram selama kira-kira 10 minit untuk tiba di The Peak.
#2 Madame Tussauds Hong Kong

Sebaik selesai menikmati pemandangan di Sky Terrace 428, anda boleh terus mengunjungi Madame Tussauds Hong Kong yang terletak di dalam kompleks yang sama.
Muzium lilin terkenal ini menampilkan lebih 100 figura lilin tokoh terkenal dunia termasuk selebriti Hollywood, bintang K-Pop, atlet, pemimpin dunia dan yang paling best ada ikon negara kita, Dato Lee Chong Wei dan pelakon Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh. Setiap figura dihasilkan dengan begitu teliti sehingga kelihatan hampir sama seperti individu sebenar.
Selain bergambar bersama figura kegemaran, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai zon interaktif yang menjadikan pengalaman di sini lebih menyeronokkan.
Cara ke sini: Hanya berjalan kaki beberapa minit dari Sky Terrace 428 kerana kedua-dua tarikan ini berada di kawasan The Peak Tower.
#3 Central Market

Selepas turun dari The Peak, singgah pula di Central Market, sebuah bangunan warisan yang telah diubah suai menjadi hab gaya hidup moden.
Sekali pandang, bangunan ini mungkin kelihatan seperti pusat beli-belah biasa. Namun selepas melangkah masuk, barulah kami faham mengapa ia menjadi antara lokasi yang popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan.
Dahulunya merupakan pasar awam terbesar di Hong Kong, Central Market kini menempatkan pelbagai restoran, kafe, kedai cenderamata, butik tempatan serta ruang seni yang sering menganjurkan pameran dan aktiviti komuniti.
Suasananya yang santai menjadikan lokasi ini sesuai untuk berehat, menikmati hidangan tempatan atau membeli buah tangan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Cara ke sini: Turun menggunakan Peak Tram ke Central dan berjalan kaki kira-kira lima hingga tujuh minit ke Central Market. Lokasi ini juga boleh diakses terus melalui Central Station atau Hong Kong Station.
#4 Mini Neon Workshop

Tidak jauh dari Central Market, anda boleh mencuba pengalaman unik di Mini Neon Workshop.
Jika ada satu aktiviti yang benar-benar memberi pengalaman berbeza sepanjang lawatan ini, kami boleh katakan Mini Neon Workshop adalah jawapannya.
Sepanjang sesi berlangsung, kami turut didedahkan dengan sejarah papan tanda neon yang suatu ketika dahulu menjadi identiti Hong Kong. Hasil yang kami bawa pulang mungkin tidak sesempurna buatan profesional, tetapi ia pastinya menjadi cenderamata paling bermakna sepanjang berada di sana.
Ia bukan sahaja sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti kreatif, malah memberikan pengalaman berbeza berbanding tarikan pelancongan biasa.
Cara ke sini: Bergantung kepada lokasi bengkel yang ditempah, kebanyakannya berada di kawasan Central atau Sheung Wan dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki atau menggunakan MTR dari Central Station.
#5 FIFA Museum Hong Kong

Bagi peminat bola sepak, FIFA Museum Hong Kong merupakan antara tarikan baharu yang tidak harus dilepaskan ketika berkunjung ke bandar raya ini.
Buat julung kalinya di Hong Kong, FIFA membawakan pameran rasmi yang menghimpunkan sejarah serta warisan sukan paling popular di dunia menerusi koleksi artifak asli, jersi ikonik, trofi, paparan audiovisual dan pelbagai pengalaman interaktif.
Antara tarikan utama ialah The Rainbow, sebuah instalasi yang mempamerkan jersi kesemua 211 negara ahli FIFA, selain peluang menguji kemahiran menerusi Goalkeeper Challenge, sepakan penalti, simulasi pengadil serta ruang pawagam yang menayangkan filem rasmi FIFA mengenai detik-detik bersejarah Piala Dunia FIFA dan Piala Dunia Wanita FIFA.
Lebih menarik, pameran ini turut mengetengahkan sejarah bola sepak di Asia dan Hong Kong, sekali gus memberikan perspektif baharu mengenai perkembangan sukan tersebut di rantau ini.
Cara ke sini: Naiki MTR ke Causeway Bay Station (Exit A). Dari situ, berjalan kaki sekitar dua hingga tiga minit ke Times Square, dan FIFA Museum Hong Kong terletak di Tingkat 4 (4F) pusat beli-belah berkenaan.
Tak Sempat Pergi, Tapi Ini Tiga Lagi Tempat Yang Wajib Anda Singgah
Disebabkan jadual lawatan media yang agak padat, kami tidak berkesempatan mengunjungi beberapa lokasi ikonik lain di Hong Kong. Namun berdasarkan cadangan penduduk tempatan dan popularitinya dalam kalangan pelancong, tiga destinasi ini sememangnya berbaloi dimasukkan dalam itinerari anda.
#6 Avenue of Stars Hong Kong

Jika anda ingin menikmati pemandangan ikonik Victoria Harbour, Avenue of Stars merupakan lokasi yang tidak boleh dilepaskan.
Terletak di Tsim Sha Tsui Promenade, laluan pejalan kaki ini dibina sebagai penghormatan kepada industri perfileman Hong Kong yang pernah menjadi antara yang terbesar di Asia. Di sepanjang promenade, pengunjung boleh melihat cap tangan serta arca beberapa legenda filem Hong Kong seperti Bruce Lee dan Anita Mui, selain mengetahui sedikit sebanyak sejarah perkembangan industri hiburan negara itu.
Selain nilai sejarahnya, Avenue of Stars juga terkenal sebagai antara lokasi terbaik untuk menikmati panorama bangunan pencakar langit di Hong Kong Island. Menjelang waktu malam, kawasan ini menjadi lebih meriah apabila dipenuhi pelancong yang ingin menyaksikan latar langit bandar yang diterangi ribuan lampu.
#7 Hong Kong Disneyland

Boleh dikatakan, Hong Kong Disneyland merupakan destinasi wajib bagi kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Hong Kong.
Walaupun kami tidak berkesempatan melawat taman tema ini, ia terkenal dengan pelbagai tarikan seperti World of Frozen, Mystic Manor, Iron Man Experience dan persembahan malam “Momentous” yang menggabungkan bunga api, muzik serta kesan visual yang memukau. Jika anda datang bersama keluarga atau anak-anak, destinasi ini sememangnya tidak boleh dilepaskan.
#8 Ocean Park Hong Kong

Selain Disneyland, Ocean Park Hong Kong juga merupakan satu lagi taman tema yang cukup popular dalam kalangan pelancong.
Apa yang membezakan Ocean Park ialah konsepnya yang menggabungkan taman tema, zoo, akuarium dan pusat pemuliharaan hidupan liar dalam satu lokasi. Ini menjadikannya pilihan yang sesuai bukan sahaja untuk mereka yang ingin mencari keseronokan, malah bagi pengunjung yang ingin mempelajari tentang kehidupan marin dan usaha pemuliharaan haiwan.
Antara tarikan utama di sini termasuk roller coaster yang mendebarkan, akuarium gergasi yang menempatkan pelbagai spesies hidupan laut, habitat panda gergasi serta kereta kabel yang menghubungkan dua bahagian taman sambil menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang cukup indah.
Sebenarnya, ada banyak lagi spot menarik di Hong Kong. Kalau anda ada lokasi menarik lain yang ingin dikongsikan, tinggalkan komen di media sosial kami!


![Hong Kong Football Festival Berlangsung Meriah, Kami Sempat Tonton Aksi City VS Inter [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-05-at-15.56.25-1-656x1024.jpeg?t=1785925212)
