
KUALA LUMPUR 9 Dis – Malaysia mengekalkan penarafan kredit kedaulatan BBB+ dengan prospek stabil daripada Fitch Ratings, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap tadbir urus, daya tahan ekonomi serta hala tuju pembaharuan negara.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini berkata, pengesahan semula penarafan itu membuktikan peningkatan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap prestasi fiskal dan ekonomi Malaysia yang semakin kukuh.
Menurut Fitch, Malaysia mencatat prestasi lebih baik daripada median global bagi penanda aras alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya dari segi kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi, kawalan rasuah dan hak asasi manusia.
Agensi penarafan itu turut menyifatkan kestabilan politik semasa sebagai “pemacu utama peningkatan kepastian dasar,” yang menyokong pertumbuhan jangka sederhana dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Fitch mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.6% pada 2025, hampir di paras atas unjuran kerajaan antara 4 hingga 4.8%.
Pasaran buruh pula dijangka kekal kukuh sehingga 2026, dengan kadar pengangguran berada pada paras terendah dalam lebih sedekad serta pertumbuhan gaji terus menyokong penggunaan domestik.
Prestasi ekonomi itu turut dipacu oleh lonjakan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berimpak tinggi, yang meningkat 13.2% tahun ke tahun bagi sembilan bulan pertama 2025.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berjaya mengharungi ketidaktentuan tarif perdagangan sepanjang 2025 yang akhirnya dimuktamadkan melalui perjanjian saling menguntungkan bagi menyokong eksport negara.
“Walaupun persekitaran global kekal mencabar, kerajaan akan terus komited melaksanakan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Tambah MoF, keyakinan Fitch turut didorong oleh pembaharuan struktur berterusan, termasuk penguatkuasaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, Akta Perolehan Kerajaan 2025 dan Akta Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bertujuan memperkukuh ketelusan, kualiti peraturan serta daya tahan institusi negara.
Fitch mengunjurkan defisit Kerajaan Persekutuan menyusut kepada 3.8% daripada KDNK pada 2025, berbanding 5.5% pada 2022, disokong prestasi kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih kukuh serta kemajuan rasionalisasi subsidi.
Defisit itu dijangka terus mengecil kepada 3.5% pada 2026, manakala sasaran statutori 3% di bawah rangka kerja tanggungjawab fiskal dilihat mampu dicapai menjelang 2028 sekiranya pembaharuan hasil dan subsidi diteruskan.
MoF berkata kerajaan akan mempergiat usaha meluaskan asas hasil dan mengoptimumkan perbelanjaan awam, di samping meneruskan rasionalisasi subsidi bagi mengekang ketirisan serta melindungi sumber awam.
Menurut kementerian itu, langkah pembaharuan tersebut amat penting dalam menyokong penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi, meningkatkan produktiviti serta meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih tinggi dalam rantaian nilai global. - DagangNews.com
