Fitnah kait komunis: Siti Mastura gagal ketepi keputusan, bayar RM825,000

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 10:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Fitnah kait komunis: Siti Mastura gagal ketepi keputusan, bayar RM825,000
Siti Mastura (tengah) telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP pada 23 Januari tahun lalu. Gambar fail

PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat.

Beliau gagal untuk mengetepikan keputusan yang memerintahkannya membayar ganti rugi beserta kos bernilai RM825,000 kerana memfitnah veteran dan pemimpin DAP yang mengaitkan mereka dengan Parti Komunis serta ketuanya, Chin Peng.

Pemimpin parti itu ialah Penasihat DAP, Lim Guan Eng; bapanya, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim (selaku plaintif-plaintif semasa kes Mahkamah Tinggi).

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Siti Mastura untuk mengetepikan semua keputusan Mahkamah Tinggi dan mengekalkan jumlah ganti rugi yang diputuskan pada 4 Disember 2024.

Semasa membaca keputusan sebulat suara, menerusi aplikasi dalam talian, Zoom, Ahmad Kamal berkata, kenyataan yang dibuat Siti Mastura (defendan semasa kes Mahkamah Tinggi) merujuk kepada plaintif dan telah disiarkan kepada pihak ketiga.

“Kami bersetuju dapatan Mahkamah Tinggi mengenai maksud semula jadi dan biasa bagi kata-kata tersebut, bahawa ucapan defendan bukan sekadar kritikan politik.

“Sebaliknya, beliau membuat tuduhan yang mengaitkan plaintif dengan Chin Peng,” katanya.

Dalam konteks hidup dalam masyarakat Malaysia, beliau berkata, melabel seseorang atau memberi gambaran bahawa mempunyai kaitan dengan Parti Komunis yang diharamkan kerana merupakan musuh negara atau ancaman keselamatan negara adalah jelas bersifat memfitnah.

“Kenyataan sedemikian menyentuh secara langsung soal kesetiaan, integriti dan reputasi seseorang,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datin Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Siti Mastura bergantung kepada pembelaannya selaku seorang ahli politik yang mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk memaklumkan kepada partinya mengenai ideologi serta latar belakang pihak lawan ketika berkempen dalam pilihan raya.

Beliau berkata, pembelaan itu tidak dapat dipertahankan kerana gagal memenuhi syarat penting, khususnya elemen kepercayaan jujur terhadap kebenaran penerbitan tersebut.

Katanya, mahkamah turut mendapati Siti Mastura tidak mengambil langkah sewajarnya untuk mengesahkan ketepatan kenyataan berkenaan sebelum ia dibuat, termasuk kegagalan mendapatkan penjelasan daripada pihak plaintif.

“Kelalaian ini menunjukkan kekurangan tahap berhati-hati, sekali gus menafikan sebarang kepercayaan jujur terhadap kebenaran kenyataan itu serta menggugurkan pembelaan perlindungan bersyarat.

“Kami berpendapat defendan tidak boleh bergantung kepada perlindungan bersyarat sebagai pembelaan yang sah, berikutan kegagalan secara cuai untuk mengesahkan kebenaran kenyataan tersebut," katanya.

Beliau berkata, mahkamah berpendapat, Hakim Mahkamah Tinggi telah menilai dengan tepat dan memberi komen yang adil.

Dalam pada itu, panel turut menolak rayuan silang ketiga-tiga pemimpin dan veteran parti berkenaan untuk menaikkan jumlah ganti rugi yang diputuskan Hakim, Datuk Quay Chew Soon pada 4 Disember 2024.

Saman tersebut difailkan secara berasingan oleh Guan Eng, bapanya, Kit Siang dan Teresa selaku plaintif terhadap pemimpin Pas tersebut, pada 27 November 2024.

Pada 4 Disember 2024, Chew Soon membenarkan saman ketiga-tiganya selepas berpuas hati, kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan komunis, sebagai fitnah dan tidak disokong dengan bukti.

Hakim berkenaan mendapati, wakil rakyat itu bertindak dengan niat jahat manakala pembelaannya berdasarkan komen yang adil dan perlindungan bersyarat, tidak diterima.

Justeru, mahkamah mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan Teresa (RM200,000), selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos.

Bagaimanapun, pada 23 Januari 2025, Siti Mastura membayar sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada ketiga-tiga pemimpin itu, sehari sebelumnya.

Sebelum ini, tiga pemimpin DAP memfailkan saman terhadap Siti Mastura berhubung ucapannya dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Kemaman.

Menerusi penyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta mendiang Lee Kuan Yew.

Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November 2023, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.

Bagaimanapun, dalam pembelaannya yang difailkan pada Januari lalu, Siti Mastura telah mempertahankan kenyataannya itu bahawa ia dibuat berdasarkan kebenaran dan fakta.

Siti Mastura berkata, dakwaannya itu dibuat berdasarkan buku panduan 'BN Comms' yang membuat penyelidikan mendalam, diterbitkan Barisan Nasional untuk pemimpin partinya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.