
KUALA LUMPUR - Syarikat tempatan, J&E Advance Tech Sdn Bhd memfailkan saman fitnah terhadap mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut kenyataan ringkas peguam syarikat itu, Elyse Ng, saman itu difailkan selepas Azmin tidak menjawab surat tuntutan yang dikemukakan pada 4 April lalu.
Azmin diminta menarik balik kenyataan beliau yang mendakwa J&E Advance Tech diberikan kontrak untuk mengimport telur dari India melalui rundingan terus.
Dalam pernyataan tuntutan, J&E Advance Tech turut merujuk kepada dakwaan Azmin bahawa ahli perniagaan, Deepak Jaikishan terlibat dalam pelantikan kontrak pengimportan syarikat itu.
“Plaintif merayu bahawa maksud semula jadi kenyataan palsu oleh defendan adalah tidak benar dan dikatakan dengan niat jahat tanpa mengambil kira prejudis terhadap reputasi syarikat,” katanya.
Dalam saman yang difailkan di mahkamah tinggi di sini, J&E Advance Tech memohon injunksi terhadap Azmin bagi menghalang mantan Ahli Parlimen Gombak itu daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap syarikat berkenaan.
Syarikat itu juga menuntut ganti rugi terhadap Azmin tetapi tidak menyatakan jumlah spesifik.
Bagaimanapun, dalam surat tuntutan awal, J&E Advance Tech menuntut ganti rugi fitnah sebanyak RM20 juta.
Pengurusan kes bagi saman fitnah itu dijadualkan pada 16 Mei depan.
Menurut peguam syarikat itu, writ saman telah diserahkan kepada pusat khidmat Azmin di Bukit Antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada sidang Parlimen sebelum ini bahawa kerajaan telah memberi kelulusan kepada hanya satu syarikat untuk mengimport telur dari India.
Langkah itu disifatkan sebagai "campur tangan" jangka pendek untuk menangani kekurangan telur di negara ini.
Pada 8 Mac lalu, ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, Mohamad mendedahkan bahawa nama syarikat itu ialah J&E Advance Tech.
Selain Azmin, syarikat itu juga menghantar surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung kenyataan yang dibuatnya di Dewan Rakyat mengenai kualiti dan kesegaran telur dari India. - The Vibes, 14 April 2023


