Fitnah TMJ Terbabit Rasuah Cubaan Jahat Jatuhkan Institusi Raja

LocalPolitics
29 Jun 2024 • 8:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tunku Ismail Sultan Ibrahim - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Fitnah mengaitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan tuduhan rasuah adalah cubaan jahat dalam menjatuhkan institusi Diraja.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perbuatan berkenaan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, biadap dan kurang ajar.

"Kerajaan Johor melihat fitnah ini adalah cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi raja dan sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar. 

"Kerajaan negeri memandang serius perkara ini yang membabitkan institusi raja dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri serta negara," katanya hari ini.

image is not available
Onn Hafiz Ghazi - Gambar fail

Tegas Onn Hafiz, laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan hasutan itu.

“Kerajaan Negeri berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan kedaulatan institusi Diraja, yang mampu mengancam keharmonian negeri dan negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Fitnah tersebut difahamkan giat disebarkan di aplikasi WhatsApp, yang antara lain mengaitkan Tunku Ismail dengan rasuah melibatkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berjumlah RM20 juta. - Getaran, 29 Jun 2024