
Fizikal, Mental Prebet Syafiq Dalam Keadaan Baik – TDM
Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengesahkan bahawa keadaan fizikal dan mental Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim adalah baik setelah beliau ditemui selamat pada Sabtu lepas selepas hilang sejak 18 Jun.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, menyatakan bahawa anggota tersebut berada dalam keadaan normal.
“Keadaan kesihatan dari segi fizikal dan mentalnya disahkan berada pada tahap yang baik.
“Beliau telah ditemukan dengan keluarganya di Miri yang mana sebelum ini kesemua mereka telah dibawa ke sana,” katanya pada Ahad.
Menurut beliau, fokus utama kini adalah untuk mengenal pasti punca kehilangan anggota tersebut.
“Susulan itu, satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi mendapatkan faktor kehilangan anggota terbabit.
“Selain itu, ia turut meliputi dari segi mengkaji sekiranya terdapat sebarang kelemahan melibatkan prosedur operasi berkaitan,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa Muhammad Syafiq ditemui selamat pada Sabtu selepas hilang di sempadan Malaysia-Brunei ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak sejak 18 Jun.
Sel Perhubungan Raya TDM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa anggota tentera tersebut dijumpai pada jam 11.29 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut kenyataan itu, Prebet Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan pencarian yang dibuat di sekitar lokasi sehingga beliau menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.
Prebet Muhammad Syafiq ditugaskan sebagai pengiring dalam penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan Ulu Tutong ke Bebuloh, Limbang, bermula 11 Jun hingga 2 September 2024 di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.
Sumber: Sinar Harian
The post Fizikal, Mental Prebet Syafiq Dalam Keadaan Baik – TDM appeared first on Siakap Keli.
