Flat Foot punca tulang belakang derita?

Health & Fitness
24 May 2026 • 5:55 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Flat Foot punca tulang belakang derita?

PERNAHKAH anda memerhatikan anak kecil anda berjalan di dalam rumah tanpa kasut, lalu terdengar bunyi 'kelepek, kelepek' setiap kali tapak kakinya mencecah lantai?

Atau mungkin anda sendiri menyedari bahawa semakin meningkat usia, tapak kaki anda kelihatan semakin leper dan mula terasa lenguh yang sukar dijelaskan?

Fenomena ini dikenali sebagai flat foot atau kaki rata, satu keadaan yang sering dianggap remeh namun mempunyai kesan rantaian yang besar kepada postur tubuh badan kita.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik & Traumatologi, Bedah Kaki & Buku Lali, Dr Syed Azmi Ahmad Shah, dari Pantai Hospital Melaka, masalah kaki rata ini sebenarnya dialami oleh ramai orang, namun jarang disedari sehingga kesakitan mula muncul.

Image from: Flat Foot punca tulang belakang derita?

Kongsi beliau, keadaan itu berbeza antara kanak-kanak dan dewasa. Bagi kanak-kanak, kebanyakannya tidak merasa sakit dan tetap aktif bersukan.

Namun, mata tajam ibu bapa biasanya akan mula mengesan kelainan pada cara anak mereka berjalan atau menyedari tapak kaki anak tidak mempunyai lekuk (arch) yang sepatutnya.

“Kanak-kanak biasanya mempunyai ligamen yang sedikit longgar. Sebenarnya, semua bayi dilahirkan dengan kaki rata kerana adanya lapisan lemak tebal di tapak kaki.

"Apabila umur mencecah dua hingga tujuh tahun, lemak ini akan diagihkan semula dan otot mula menarik tulang untuk membentuk lekuk tapak kaki yang matang,” jelas Dr. Azmi.

Namun, jika selepas usia enam atau lapan tahun lekuk ini masih tidak kelihatan, itulah masanya ibu bapa perlu mendapatkan pemeriksaan pakar.

Tapak  kasut  haus

Dr. Azmi turut menekankan kepentingan otot posterior tibial tendon yang berfungsi seperti ‘tali penarik’ untuk membentuk lengkungan kaki.

Apabila otot ini lemah atau merenggang, terutamanya bagi golongan dewasa berusia 40-an ke atas, tapak kaki akan perlahan-lahan menjadi leper.

Inilah punca utama mengapa orang dewasa mula mengadu sakit bukan sahaja di kaki, malah melarat sehingga ke lutut, pinggang dan tulang belakang.

Image from: Flat Foot punca tulang belakang derita?

“Ini fakta yang perlu kita fahami. Apabila tapak kaki rata, buku lali akan tertolak ke dalam. Ini akan menyebabkan lutut dan pinggang turut berpusing ke dalam, sekali gus menjejaskan seluruh penjajaran (alignment) badan.

"Bayangkan jika ia berlaku pada sebelah kaki sahaja, pinggang akan senget sebelah dan boleh menyebabkan tulang belakang menjadi bengkok atau disebut sebagai postural scoliosis,” kata beliau.

Salah satu tanda mudah untuk dikesan adalah dengan melihat tapak kasut anda. Jika bahagian dalam kasut lebih cepat haus atau kasut kelihatan senget apabila diletakkan di atas meja, itu petanda jelas masalah berkenaan.

Adakah kaki rata ini boleh dipulihkan? Dr. Azmi menegaskan, langkah pertama dan paling utama adalah berjumpa doktor untuk diagnosis yang tepat, sama ada ia jenis ‘fleksibel’ atau ‘rigid’ (kaku).

Berita baiknya, kebanyakan kes adalah jenis fleksibel dan tidak memerlukan pembedahan.

Penggunaan pelapik kasut khas sangat membantu dalam membetulkan postur secara sementara, manakala senaman pengukuhan otot dan regangan otot betis (tendo achilles) adalah rawatan jangka panjang yang sangat berkesan.

"Waktu yang sesuai untuk berjumpa doktor adalah hari ini. Jangan tunggu sehingga sakit menyerang baru mahu bertindak.

"Rawatan awal mampu mengelakkan komplikasi yang lebih serius pada masa hadapan," pesan pakar itu lagi.

Jadi, perhatikan cara anda dan anak-anak berjalan. Jika terasa ada yang tidak kena dengan imbangan badan, segera dapatkan nasihat pakar demi kesejahteraan postur tubuh yang berpanjangan.

View Original Article