Flat Haram Di Hulu Langat Akan Dirobohkan Mengikut Undang-Undang – PDT Hulu Langat

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 10:05 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Flat Haram Di Hulu Langat Akan Dirobohkan Mengikut Undang-Undang – PDT Hulu Langat

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Isu pembinaan flat haram yang dikaitkan dengan etnik Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor sejak belakangan ini nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz.

Malah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya telah mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis terhadap struktur binaan yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Baca Artikel Berkaitan: MPKj Sahkan Flat Haram Di Hulu Langat Tiada Kelulusan, Sudah Keluarkan Notis

Bangunan Kediaman Didakwa Didiami Etnik Rohingya Akan Diroboh Mengikut Undang-Undang

Terbaharu, bangunan kediaman kontroversi yang terletak di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat itu akan dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim, tindakan tersebut akan dilaksanakan memandangkan pelbagai tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh agensi berkaitan terhadap struktur binaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Malah, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat memaklumkan pihaknya mengambil perhatian berhubung dakwaan tular di media sosial mengenai kewujudan kediaman bertingkat itu.

“Semakan mendapati struktur tersebut sebahagian besarnya terletak di atas lot tanah milik individu yang mempunyai syarat nyata bagi rumah kediaman, manakala sebahagian kecil lagi berada di atas rizab jalan.

“Turut dikenal pasti beberapa struktur kediaman lain dibina tanpa kebenaran di atas lot berkenaan serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai dan pernah didiami penduduk etnik Rohingya,” katanya.

PDT Telah Keluar Notis Amaran Beberapa Kali Sejak Tahun 2017

Jelas Mohd Jusni, PDT Hulu Langat telah beberapa kali mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kepada pemilik struktur bangunan berkenaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Terangnya, notis terbabit telah dikeluarkan pada tahun 2017, 2020, 2021 dan yang terbaharu pada 13 Mac lalu.

“Malah, operasi perobohan bersepadu pernah dijalankan pada 2017 membabitkan kerjasama beberapa agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” ujarnya.

Agensi Lain Termasuk MPKj Juga Telah Ambil Tindakan Kerana Pembinaan Bangunan Tiada Kebenaran Bertulis

Tambah Mohd Jusni, MPKj juga telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis serta tawaran kompaun pada tahun 2016, 2017, 2019 dan 2021 disebabkan pembinaan bangunan itu dibuat tanpa kebenaran bertulis PBT.

Pada masa yang sama, LUAS akan membuka kertas siasatan di bawah Enakmen LUAS 1999 agar tindakan pengkompaunan dikenakan kepada pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur binaan terbabit tanpa kelulusan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” terangnya.

Bukan itu sahaja, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor juga pernah menjalankan operasi bersama PDRM pada 28 Februari lalu.

Dalam operasi tersebut, seramai 42 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Tegas Mohd Jusni, PDT Hulu Langat dengan agensi penguatkuasaan daerah akan terus melaksanakan tindakan terhadap pencerobohan tanah kerajaan berdasarkan lunas undang-undang yang ditetapkan.

Baca Artikel Berkaitan: Flat Haram Di Hulu Langat: Pemilik Tanah Benarkan Pembinaan Tanpa Kelulusan – ADUN Dusun Tua [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Tidak Makan 5 hari, 59 Warga Rohingya Terkandas Di Thailand Semasa Menuju Ke Malaysia